Wednesday, 23 February 2011

0148 Sikap Orang Ramai yang Sepatutnya

Orang awam adalah golongan yang teramai. Kebanyakan mereka tidak tahu-menahu langsung mengenai soal Imam Mahdi ini. Mereka juga mudah ditarik ke sana ke mari oleh mana-mana golongan pun. Jika pemerintah kata Imam Mahdi itu tidak ada, mereka pun dengan mudah pula ikut mengatakan bahawa Imam Mahdi itu tidak ada. Jika ada satu golongan lain mengatakan Imam Mahdi itu ada dan benar, mereka pun ikut kata itu adalah benar dan ada. Kemudian jika ada golongan lain mengatakan bahawa Imam Mahdi itu mungkin ada dan mungkin tiada, mereka pun ramai-ramai akan kata bahawa Imam Mahdi itu mungkin ada dan mungkin tiada. Begitulah sikap mereka, sepanjang masa dalam keadaan yang serba mungkin. Ini sudah pun berlaku dalam sejarah umat Islam sejak sekian lama dahulu, sejak ratusan tahun dahulu lagi.

Oleh itu, adalah wajar bagi setiap orang Islam bersikap sederhana, sesuai dengan kedudukan ilmu mereka dalam soal ini. Bersikap sederhana atau wasatiah ini amatlah dituntut oleh Islam, khususnya dalam hal yang melibatkan hubungan baik antara sesama umat Islam itu sendiri. Sikap melampau, emosi dan terburu-buru dalam soal ini adalah satu sikap yang menyalahi kehendak agama Islam. Ingatlah, Allah SWT tidak menyukai golongan yang melampau dalam urusan beragama dan urusan hidup bermasyarakat.

Jangan bersikap terlalu lancang lidah mempertikaikan kebolehan orang itu dan orang ini, dengan hanya melihat dari segi luarannya sahaja. Ingat, pandangan mata selalunya silap dan menipu kita. Kerana itu, ikutlah pandangan dari pihak yang dilihat dan dinilai benar-benar menjalankan kebajikan di tengah-tengah masyarakat. Jangan ikut atau terpengaruh dengan pandangan dari pihak yang terkongkong oleh sesuatu sistem atau terkongkong dalam kelompok tertentu sahaja. Jika tidak pun, sembahyang istikharah dan mintalah petunjuk yang jelas dalam soal ini. Itulah sikap kita yang sebaik-baiknya.

Cara yang terbaik menangani masalah ini ialah dengan mencari ilmu yang bersesuaian dengan perkara yang dibincangkan. Dapatkan pandangan dari pelbagai golongan dan pelbagai tempat, jangan terlalu mudah mengikut satu-satu pandangan yang diberikan. Timbalah ilmu mengenainya sebanyak mungkin dan perincikan pendapat-pendapat dari pelbagai pihak. Kemudian istikharah kepada Tuhan untuk mendapatkan jawapan muktamad. Setelah berasa yakin dengan ilmu yang ada dan berpuas hati dengan jawapan dari pihak-pihak yang ditanya tadi, barulah buat satu keputusan yang tetap dan muktamad. Jangan ikutkan pandangan masyarakat umum secara melulu dan sempit. Sikap emosional dan fanatik melulu hanya membawa kerosakan kepada hidup bermasyarakat dan menjatuhkan imej seseorang itu.

No comments:

Post a Comment