Wednesday, 23 February 2011

0107 Hadis-hadis Yang Dikatakan Maudhuk Oleh Puak Wahabi

Sehubungan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak Rabitah Al-Alam Al-Islami itu, beberapa orang ulama dari kalangan Wahabiyah telah berusaha menyenaraikan hadis-hadis berikut sebagai hadis-hadis yang telah dikenal pasti sebagai hadis maudhuk atau hadis reka-rekaan orang lalu disandarkan kepada Nabi SAW perkataannya, pada hal Nabi SAW tidak pernah sekali-kali menyebutkan seperti yang demikian. Kebanyakan pendapat mereka ini adalah dengan merujuk kepada tulisan Ibnul Jauzi. Antara hadis yang muktamad dimasukkan oleh puak Wahabi sebagai hadis maudhuk itu, antaranya adalah seperti berikut:

1.Dari Sayidina Ali bin Abi Talib KMW, sabda Nabi SAW,

Akan keluar seorang lelaki dari seberang sungai yang dikatakan Al-Haris bin Harras, yang di hadapannya ada seorang lelaki yang dikatakan Al-Mansur, dialah yang akan memudahkan urusan atau membela keluarga Nabi SAW seperti pihak Quraisy yang membela Rasulullah SAW. Wajib setiap mukmin menolongnya.” Atau baginda bersabda, “Wajib setiap orang mukmin menerimanya.”

2.Dari Abdullah RA, dia berkata,

“Ketika kami sedang berada bersama-sama Rasulullah SAW, datang sekumpulan anak-anak muda dari Bani Hasyim. Apabila melihat mereka, tiba-tiba air mata baginda berlinang dan wajahnya berubah. Abdullah berkata, aku bertanya, “Kami melihat sesuatu yang tidak kami senangi pada wajahmu?” Maka baginda menjawab, “Kami adalah Ahlulbait yang Allah telah memilih bagi kami kehidupan akhirat lebih daripada kehidupan dunia. Sesungguhnya ahli keluargaku, sepeninggalanku nanti akan menerima bala bencana pengusiran dan pembuangan, sehingga datanglah suatu kaum dari arah Timur yang membawa Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya, lalu mereka berjuang dan menang, lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerimanya sehinggalah mereka menyerahkan kepemimpinan itu kepada salah seorang lelaki dari ahli keluargaku. Dia lalu memenuhinya dengan berbuat adil, seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan kezaliman. Barang siapa di antara kamu semua yang menjumpai hal-hal tersebut, hendaklah dia mendatangi mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salji.

3.Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,

Akan keluar dari Khurasan Panji-panji Hitam. Maka (Panji-panji Hitam itu) tidak dapat ditolak oleh sesuatu apa pun sehinggalah ditancapkan di Ilya’.”

4.Sabda Rasulullah SAW,

Terdapat banyak pasukan tentera selepasku kelak. Kamu hendaklah menyertai pasukan tentera yang datang dari arah Khurasan.”

5.Dari Muaz bin Jabal RA, dari Nabi SAW bersabda,

(Jarak masa antara) Malhamatul ‘Uzma, penaklukan Konstantinopel (Eropah) dan keluarnya Dajjal adalah dalam masa tujuh bulan.”

6.Ammar bin Yasir RA menyatakan,

Apabila orang suci (Nafsuz Zakiyah) itu terbunuh, satu seruan dari langit akan kedengaran, “Pemimpin kamu semua adalah si dan si anu.” Berikutnya, Al-Mahdi akan memerintah dunia dan memenuhkannya dengan keadilan dan sama rata.”

Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut mengenai taraf hadis-hadis tersebut dan sanad yang dikatakan ditolak, bolehlah dirujuk kepada penjelasan yang dibuat oleh Ibnul Jauzi dalam kitabnya Ahadisul Maudhu’at. Semua hadis di atas telah secara muktamad dimasukkan sebagai hadis maudhuk oleh beliau. Sayangnya, bukan semuanya adalah hadis Nabi SAW malah adalah ucapan para sahabat sahaja, tetapi turut dimaudhukkan oleh beliau.

No comments:

Post a Comment