Sebuah kitab hadis yang paling sahih bagi orang-orang Syiah, yang setaraf dengan Kitab Sahih Al-Bukhari bagi Ahlus Sunnah, yang namanya Yanabi’ul Mawaddah, susunan Syeikh Sulaiman al-Balkhi, ada meriwayatkan sebuah hadis sahih mengenai Imam Maksum mereka yang dua belas orang itu, yang kononnya nama kesemuanya telah ditunjukkan secara batang tubuh oleh Rasulullah SAW. Hadis itu yang diterjemahkan berbunyi kira-kira begini:
Abu Sulaiman yang berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW dan Ahlulbaitnya berkata, “Pada malam aku Mikraj, Allah berfirman kepadaku: “Lihatlah di sebelah kanan Arasy.” Lalu aku berpaling ke arahnya, maka aku dapati Ali, Fatimah, Hasan, Husain, Ali bin Husain, Muhammad bin Ali, Jaafar bin Muhammad, Musa bin Jaafar, Ali bin Musa, Muhammad bin Ali, Ali bin Muhammad, Hasan bin Ali dan Muhammad Al-Mahdi bin Hasan, seperti cakerawala yang berpusing-pusing di kalangan mereka. Dan Dia berfirman: “Wahai Muhammad, mereka itulah hujah-hujah-Ku ke atas hamba-hamba-Ku, merekalah Wasi-wasi-Ku.” (Yanabi’ul Mawaddah, hal. 487)
Hadis seperti ini tidak pernah ditemui di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, walaupun hadis yang tarafnya amat dhaif sekalipun. Hadis ini sebenarnya bernafaskan ayat al-Quran dan hadis-hadis mengenai peristiwa Mikraj Rasulullah SAW ke langit. Ketika sampai ke sebelah kanan Arasy, Rasulullah SAW telah diperintahkan oleh Allah untuk melihat ke sebelahnya, iaitu kepada malaikat Jibril AS. Pada masa inilah Rasulullah SAW melihat rupa bentuk sebenar malaikat Jibril, dengan rupanya yang asal dan saiz yang asal juga, maka mereka semakin rapat dan rapat hingga jarak antara Rasulullah SAW dengan malaikat Jibril itu hanyalah lebih kurang sedepa sahaja, atau di dalam hadisnya disebutkan sejauh busur panah sahaja.
Itu riwayat di dalam hadis yang terdapat di kalangan Ahlus Sunnah. Tetapi orang-orang Syiah telah menukar makna ayat al-Quran dan matan hadis tersebut dengan lafaz yang amat jauh daripada Ahlus Sunnah. Hasilnya lahirlah beberapa buah hadis yang mengambil sempena daripada peristiwa Mikraj Rasulullah SAW itu. Antara hadis itu adalah seperti yang diberikan di atas. Di dalam hadis di atas, tempat malaikat Jibril AS telah ditukar kepada Imam-imam mereka, kerana mereka berkeyakinan bahawa Imam-imam mereka adalah lebih sempurna dan afdhal daripada malaikat Jibril. Kerana itu, tidaklah mengapa jika tempat malaikat Jibril digantikan dengan para Imam mereka yang maksum itu.
No comments:
Post a Comment