Wednesday, 23 February 2011

0130 Imam Mahdi Syiah Adalah Imam Ghaib

Kitab Yanabi’ul Mawaddah juga mengakui bahawa Imam Mahdi mereka adalah imam yang ghaib kerana terdapat sebuah hadis yang menyebutkan demikian. Hadis tersebut terjemahannya berbunyi kira-kira begini:


Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah, beliau bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah Al-Qaim dari anak cucumu akan ghaib?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya.” Lalu baginda SAW bersabda, “Wahai Jabir, ini adalah salah satu urusan dari urusan Allah, dan salah satu rahsia dari rahsia-rahsia Allah. Engkau jauhilah daripada syak kerana syak pada urusan Allah adalah kufur.” (Yanabi’ul Mawaddah, hal. 489)

Ahlus Sunnah juga mempercayai bahawa Imam Mahdi adalah iman yang ghaib, tetapi tidak semua yang mempercayainya. Konsep imam yang ghaib ini hanya dipercayai oleh kalangan ahli tasawuf dan para pengikut mereka sahaja, tidak dibawa kepada orang awam. Ahli-ahli tasawuf ini mendasarkan kepercayaan mereka itu kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal RH. Hadisnya itu ada penulis sertakan pada bahagian berikut nanti, dan sesiapa yang mahu membandingkan hadis Imam Ahmad bin Hanbal itu dengan hadis puak Syiah di atas, bolehlah dilihat ke bahagian berkenaan.

Konsep imam ghaib Ahlus Sunnah ini nyata jauh berbeza daripada konsep imam ghaib bagi puak Syiah, yang secara jelas menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mempercayai keghaiban imam mereka, dihukumkan kufur. Ini jelas diambil dari maksud zahir hadis yang diriwayatkan oleh mereka. Maknanya, mempercayai Imam Mahdi sebagai ghaib adalah merupakan salah satu cabang rukun iman yang wajib diketahui, diyakini dan disampaikan bagi sekalian pengikut mazhab Syiah.

Dan berdasarkan pengamatan penulis sendiri, setelah melihat kepada susur sanad dan rawi hadis yang dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal RH itu, kemudian membandingkannya dengan susur sanad dan rawi hadis Syiah itu dengan teliti, tidaklah salah rasanya jika dikatakan bahawa puak Syiahlah yang sebenarnya meniru konsep imam ghaib daripada Ahlus Sunnah. Ini berdasarkan senarai rawi puak Syiah yang lebih panjang dan bercelaru, selain langsung tidak dikenali oleh kita sedangkan rawi dalam hadis Imam Ahmad itu adalah jauh lebih mantap dan lebih berwibawa dengan jarah wat takdil yang terang jelas.

Kesimpulannya, Syiah meletakkan Imam Mahdi mereka sebagai seorang yang sangat istimewa, lebih istimewa daripada Rasulullah SAW sendiri. Imam Mahdi mereka adalah imam yang maksum, setaraf dengan rasul-rasul kerana menurut Ahlus Sunnah, hanya rasul-rasul sahaja yang maksum. Bagi yang selain rasul dan nabi, atau golongan wali-wali disebut mahfuz. Imam Mahdi mereka akan menyempurnakan syariat Islam yang dibawa oleh baginda SAW, kerana syariat Islam masih belum sempurna dibawa oleh baginda SAW. Penyempurnanya adalah Imam Mahdi.

Imam Mahdi Syiah setaraf dengan Tuhan kerana mengetahui setiap sesuatu. Sifatnya yang sempurna dalam pemerintahan menjadikannya setaraf dengan Tuhan kerana setiap sesuatu tunduk dan patuh kepada Imam Mahdi termasuk setiap atom/zarah dan alam malakut. Imam Mahdi juga mampu membangkitkan orang yang telah mati, sebelum lagi dibangkitkan manusia di Padang Mahsyar. Imam Mahdi Syiah juga tidak akan mati melainkan dengan izinnya sendiri. Imam Mahdi juga mempunyai sifat tidak pernah lupa. Dan banyak lagi perkara yang menakjubkan mengenai diri Imam Mahdi dan Imam-imam mereka. Kebanyakannya melebihkan Imam-imam itu daripada rasul-rasul sendiri dan setara dengan sifat Allah. Lihatlah kitab-kitab Syiah sendiri jika mahukan lebih maklumat mengenainya.

No comments:

Post a Comment