Wednesday, 23 February 2011

0134 Ibnu Khaldun dan Persoalan Imam Mahdi

Untuk lebih jauh lagi mengenai topik kesahihan hadis-hadis berkenaan Imam Mahdi, marilah kita lihat pula pendapat Ibnu Khaldun, seorang cendekiawan Islam yang namanya lebih terkenal di dunia Barat sana, di dalam kitab terkenalnya, bernama Al-Muqaddimah (edisi Kaherah), yang juga lebih terkenal di dunia Barat, mulai daripada muka surat 311, yang secara penuhnya (terjemahan bebas) berbunyi begini:

Adalah sudah termasyhur (dan diterima ramai) oleh kebanyakan umat Islam sepanjang zaman, bahawa pada akhir zaman kelak, seorang lelaki dari kalangan Ahlulbait (Nabi Muhammad SAW) bakal menzahirkan dirinya, memperteguhkan semula Islam dan menegakkan keadilan. Dan bahawa setiap umat Islam akan mengikutinya, dan dia akan memperkukuhkan penguasaan Islam ke atas wilayah-wilayah Islam, dialah yang digelar sebagai al-Mahdi. Munculnya Dajjal dan keluarnya alamat-alamat hari kiamat seperti yang disebutkan dalam hadis-hadis sahih terjadi selepasnya. Isa akan turun setelah dia keluar lalu membunuh Dajjal, atau turun bersama-sama dengannya dan membantunya membunuh (Dajjal) itu. Apabila mendirikan sembahyang, Isa akan menjadi makmum (manakala) al-Mahdi sebagai imam. Untuk memperkukuhkan kepercayaan ini, diriwayatkan beberapa buah hadis yang oleh sebilangan ahli hadis diterima pakai dan menurut sebahagian yang lain dipersoalkan, dan selalu pula berlawanan dengan keterangan lain. Ahli-ahli sufi yang mutakhir telah menggunakan satu jalan dan kaedah untuk membuktikan darihal keturunan Fatimah ini dan mencari kekuatan akan hal ini melalui suatu proses kebatinan yang disebut kasyaf, yang menjadi dasar kepada kaedah mereka. Kebanyakan hadis yang ditemui yang menyatakan mengenai pemimpin agama itu memang sudah tersebar luas. Mereka telah membincangkannya secara terperinci sekali, (cuma disayangkan mereka) mengambilnya melalui rawi-rawi yang tidak dapat dipertanggungjawabkan dan ditolak periwayatannya dalam kebanyakan hadis.

Begitulah sebahagian pendapat yang dikemukakan yang menjadi pegangan teguh Ibnu Khaldun. Beliau kemudian menyebutkan bahawa para rawi hadis ini adalah lemah dan mengkritik sifat siqah dan dhabit mereka itu, seperti yang dipegang oleh para ulama dan ahli hadis, berdasarkan penerimaan kajian kaedah sains sosial (yang beliau asaskan dan berpegang teguh pada ilmunya itu). Beliau turut memasukkan hadis-hadis yang dikajinya dan dikatakan sebagai dhaif atau maudhuk itu. Disertakannya sekali nama rawi-rawi hadis berkenaan dan mengkritik mereka sebagai rawi-rawi yang lemah belaka.

Kenapa Ibnu Khaldun? Sebab beliau adalah orang yang paling terkenal di kalangan orang yang tidak mempercayai kemunculan Imam Mahdi dan dianggap orang yang mula-mula mengemukakan teori dan alasan bahawa para rawi yang meriwayatkan hadis berkenaan al-Mahdi tidak siqah, kurang dhabit dan sebagainya. Beliaulah orang pertama yang secara terang-terangan menentang kemunculan Imam Mahdi dan sekali gus menentang hadis-hadis mengenai Imam Mahdi. Juga disebabkan, orang-orang selepasnya apabila menolak hadis-hadis mengenai Imam Mahdi, akan memberikan alasan yang sama seperti yang telah dibentangkan oleh Ibnu Khaldun. Sebahagian mereka tahu bahawa alasan yang mereka gunakan datang daripada Ibnu Khaldun, tetapi sebahagian besarnya tidak sedar bahawa mereka telah termenggunakan alasan yang diberi oleh Ibnu Khaldun itu. Sebab utamanya adalah kerana mereka mengambil pendapat itu daripada sumber ketiga, atau keempat, bukan sumber aslinya.

Di dalam kitab terkenalnya Al-Muqaddimah itu, Ibnu Khaldun telah menggariskan enam faktor besar mengapa hadis-hadis mengenai Imam Mahdi patut ditolak oleh seluruh umat Islam di dunia ini. Beliau telah menghuraikannya dengan panjang lebar pendapatnya itu. Seperti dimaklumi, ramai sarjana Islam yang terpengaruh dengan hujah-hujah yang dikemukakannya itu dan mereka menerimanya dengan baik. Marilah kita menilai semula dengan teliti semua enam faktor yang dirasakan kurang tepat yang telah dikemukakan oleh Ibnu Khaldun itu:

No comments:

Post a Comment