Ibnu Khaldun akhirnya merumuskan berkenaan hadis-hadis yang menceritakan mengenai Imam Mahdi sebagai berikut:
Sebagai tindak balas terhadap penilaian Ibnu Khaldun ini, kita mestilah menyisihkan fakta bahawa tidak ada keraguan, seseorang yang mahu menapak dan membesarkan kuasanya untuk mendirikan sebuah kerajaan mestilah mendapatkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada para pengikutnya untuk mencapai matlamatnya itu. Syarat yang sama juga mesti dipenuhi semasa menunggu zahirnya Imam Mahdi dan pembaharuan sejagatnya itu.Kebenaran yang mesti diketahui oleh seseorang ialah tiada tokoh agama atau kuasa politik yang boleh benar-benar berjaya, melainkan tokoh atau kumpulan itu merasakan wujudnya sokongan kepada cita-cita agama dan politik, dan mempertahankannya daripada orang-orang yang menolaknya. Juga sehingga Tuhan akan menguruskan hal mereka itu. Kami telah menyebutkannya sebelum ini, dengan bukti-bukti yang tepat, yang kami bentangkan kepada pembaca. Kumpulan yang merasakan sedemikian adalah dari kalangan anak-anak Fatimah dan Bani Abu Talib, iaitu dari kalangan kaum Quraisy, yang sudah tiada lagi di mana-mana pun. Pengecualian hanya diberi kepada sisa-sisa keturunan Abu Talib - Hasani, Husaini, dan Jaafariah -- di Hijaz, di Makkah, al-Yanbu’, dan Madinah. Mereka telah berpecah ke serata kawasan dan cuba menguasainya. Mereka kini menjadi golongan Badwi. Mereka mendiami dan memerintah di tempat-tempat terpencil dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang jauh menyeleweng. Bilangan mereka mencecah beberapa ribu orang sahaja. Jika benarlah bahawa Mahdi itu akan zahir, inilah satu-satunya cara propaganda untuk membuatkannya benar-benar zahir. Dia mestilah salah seorang dari mereka, dan Allah mestilah menyatukan mereka untuk menjadi pengikutnya, sehingga dia mempunyai cukup kekuatan dan kumpulan pengikut untuk menambahkan kejayaannya, sekali gus menggerakkan rakyat menyokongnya. Satu cara lain - seperti yang dilakukan oleh Bani Fatimiah yang menyebarkan fahaman (tentang al-Mahdi) kepada seluruh rakyat di mana-mana jua, tanpa sokongan daripada pengikut dan juga kekuasaan, yang amat bergantung hubungannya dengan Keluarga Nabi Muhammad SAW - tidak akan diterima atau berjaya, untuk menyatakan sebab-sebab yang kami sebutkannya terdahulu.
Tetapi itu adalah dalam kes orang biasa yang ingin menjadi pemerintah, bukannya Imam Mahdi. Imam Mahdi tidak memerlukan itu semua kerana segala-galanya telah diatur sebegitu rupa oleh Allah SWT sehingga apabila Imam Mahdi zahir nanti, beliau hanya perlu duduk di atas singgahsananya sahaja, tanpa perlu bersusah payah menumpahkan darah. Kerajaannya sudah dijanjikan, kemunculannya sudah ditetapkan. Mana satu kuasa makhluk yang mampu menahan Kehendak Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak?
Penilaian yang dibuat oleh Ibnu Khaldun itu adalah berasaskan ilmu sains kemasyarakatan yang disusun olehnya sendiri. Kenalah berpegang kepada ilmu yang sendiri susun. Kalau kita sendiri tidak berpegang kepada ilmu sendiri, siapa lagi yang akan berpegang kepada ilmu kita. Maka kenalah pertahankan bermati-matian. Ilmu beliau itu adalah ilmu yang bersandarkan kepada zahir sesuatu dan logik semata-mata, tidak ada unsur-unsur lain yang perlu diambil kira atau dipentingkan sangat. Maka beginilah jadinya pendapat beliau itu - menentang arus secara membabi buta.
Beliau sepatutnya menilai Imam Mahdi secara luar dari kaedah sains sosialnya itu. Ini dikeranakan Imam Mahdi itu adalah orang Allah yang amat istimewa, yang jauh berbeza daripada orang kebanyakan atau pemimpin-pemimpin lain yang ada. Pendokong-pendokongnya disediakan oleh Allah, bukan oleh beliau sendiri, kerajaannya disediakan oleh Allah, bukan beliau yang membina dari mula hingga besar dan kuat seperti lazimnya. Pusat pemerintahannya ditentukan oleh Allah, bukan oleh beliau atau pengikutnya. Masa keluarnya dan tempat keluarnya juga sudah ditetapkan, bukan ikut pandai-pandai sendiri.
Pemerintahannya dapat menyatukan hati seluruh manusia, bukan sekadar penyatuan zahir seperti yang dilakukan oleh pemimpin besar dunia yang lain, keberkatannya melimpah ruah, tiada terbayangkan, malah melebihi keberkatan yang pernah diterima oleh kaum Sabak pada zaman dahulu dan pemerintahannya amat meliputi seperti yang pernah dinikmati oleh Nabi Sulaiman AS. Inilah perkara-perkara yang tidak terfikirkan, tidak terjangkau dan tidak dapat dilogikkan oleh Ibnu Khaldun dan para pengikutnya sejak dahulu hingga kini.
No comments:
Post a Comment