Wednesday, 23 February 2011

0144 Sikap Para Ulama yang Sepatutnya

Sesiapa yang telah Allah SWT pilih dia menjadi sebagai seorang ulama, patutnya banyak-banyak bersyukur atas nikmat yang cukup besar itu, yang tidak diberikan-Nya kepada orang lain. Pemilihan mereka sebagai ulama itu disertakan sekali dengan satu tanggungjawab yang cukup besar dan berat yang perlu ditunaikan sepenuhnya. Maka kerana itu, mereka mempunyai tanggungjawab yang cukup besar, iaitu untuk menunaikan amanah sebagai ulama itu dengan penuh ikhlas, atau bersedia menerima azab neraka yang paling pedih jika amanah itu disia-siakan. Azab neraka untuk para ulama yang suk adalah jauh lebih dahsyat dan berat daripada azab yang diterima oleh seorang penzina, dan akan dicampakkan ke dalam neraka lima ratus tahun lebih awal daripada seorang penyembah berhala.

Para ulama adalah orang yang paling tahu selok-belok agama Islam di kalangan umat ini. Sikap ulama yang membisu daripada memperkatakan masalah ini secara terus terang dan berani, menyebabkan umat Islam menjadi berpecah belah dan bercanggah pendapat seperti yang dapat kita lihat pada hari ini. Ulama zaman dahulu berani dan tegas pendirian mereka, didasarkan hujah yang kukuh dan sukar dibantah lagi. Mereka amat bersikap terbuka dan sedia mendengar pendapat dari pelbagai pihak, sekali pun dari pihak yang lemah dan kecil, atau dari pihak yang sedia diketahui akan kesesatannya. Setiap pendapat itu mereka timbang dengan berhati-hati dan penuh teliti, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai seorang ulama, bukan sekadar seorang sarjana dan cendekiawan semata-mata.

Pendapat mereka itu dibukukan untuk tatapan umat sezaman dan juga untuk panduan generasi kemudian. Mereka menjelaskan perkara yang hak sebagai hak, dan yang batil sebagai batil. Ilmu dan ijtihad mereka sesuai untuk umat Islam pada zaman mereka, walaupun kebanyakannya masih lagi boleh diguna pakai oleh umat zaman ini. Mereka telah mendapat sekurang-kurangnya satu pahala kerana ijtihad mereka itu, yang dibuat berdasarkan segenap ilmu, keupayaan dan kesesuaian yang diperlukan pada zaman itu.

Mereka tidak terikat atau cenderung kepada mana-mana pihak, baik dari pihak pemerintah mahupun pihak lain yang cuba mengambil kesempatan. Mereka mengeluarkan pendapat dan ijtihad dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap Allah, agama Islam, umat Islam dan dirinya sendiri. Niat mereka begitu ikhlas dalam ijtihad mereka. Hasilnya, mereka sangat dimuliakan oleh Allah SWT, juga sangat dihormati oleh sekalian umat Islam, amat didengki oleh ulama zahir yang sezaman dan sangat ditakuti oleh para pemerintah pada masa mereka hidup. Nama mereka terus hidup dan segar sepanjang zaman, malah mekar mewangi dalam setiap hati sanubari umat Islam walau di mana sahaja. Hujah dan alasan mereka tetap tidak terpatahkan oleh lawan, walaupun cuba dikumpulkan segenap hujah dari sekian ramai cendekiawan dan sarjana sekalipun. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana keikhlasan mereka dalam berijtihad tadi, yang dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Ulama dahulu mampu membentuk dan mencorak umat Islam keseluruhannya, dijadikan role model oleh setiap umat dalam setiap aspek kehidupan. Pakaian mereka sahaja sudah dapat membezakan mereka daripada orang awam, dan orang awam meniru bentuk pakaian yang dipakai oleh ulama tadi dan menganggapnya sebagai suatu sunnah. Rumah tangganya menjadi uswatun hasanah dan dirujuk oleh orang awam sebagai keluarga contoh. Ibadah mereka diikut oleh para abid dan solihin, malah orang awam pun menjadi banyak ibadah mereka kesan mengikut banyaknya ibadah para ulama yang mereka contohi tadi. Wirid zikir mereka tidak terkirakan lagi banyaknya, tasbih tidak lekang dari tangan mereka. Tawakal mereka setinggi gunung, sehingga mereka tidak lagi risau dengan rezeki mereka dan ini turut diikut oleh orang awam, sehingga yang miskin menjadi redha dengan rezeki mereka yang sedikit.

Dengan berbuat begini, barulah para ulama akan dihormati semula oleh semua pihak. Umat akan merujuk segala permasalahan mereka, dari yang sebesar-besarnya hinggalah kepada yang sekecil-kecilnya kepada institusi ulama yang bebas, berwibawa dan tegas ini. Dengan ini, diharapkan agar institusi ulama akan diangkat semula ke kedudukannya yang asal dan sepatutnya untuk mereka - bebas, berkecuali, berwibawa dan amat dihormati. Namun, adakah mana-mana ulama hari ini yang bersih lidahnya daripada berkata-kata yang tidak perlu? Mana dia ulama yang mempunyai segala ciri-ciri di atas pada zaman ini? Mana dia ulama yang boleh dijadikan role model untuk diikut oleh sekalian umat Islam pada zaman ini? Tunjukkan siapa dia orangnya.

Seterusnya sikap seperti ini mampu membuka minda seluruh umat Islam terhadap kedudukan sebenar soal khilafiah ini, dan ranting-ranting masalah yang berkaitan dengannya. Akhirnya setelah semuanya mendapat kefahaman yang jitu dan pasti, seluruh umat akan bersatu hati, bersatu fikiran dan bersatu tenaga membangunkan Islam ini. Tidakkah itu hasil yang kita idam-idamkan selama ini? Sayang sekali kerana para ulama yang ada tidak bersuara. Atau jika bersuara pun, hanya menyentuh soal-soal yang selamat, yang tidak menyinggung pihak pemerintah terutamanya. Para ulama juga tidak bersatu hati dan bersatu jiwa raga sepenuhnya. Mereka hanya mampu bersatu dari segi zahir iaitu mengikut persatuan-persatuan ulama yang mereka masuki sahaja, tidak dari segi fikrah, kefahaman, penghayatan, pengamalan dan matlamat.

Oleh itu, sebagai panduan am kepada para ulama khususnya dan bakal ulama amnya, penulis sertakan di sini beberapa panduan paling asas yang patut menjadi renungan kita bersama, kemudian sama-sama diamalkan dengan bersungguh-sungguh iaitu:

1.Jika ulama sendiri hatinya amat jauh daripada Tuhan, maka para pemimpin dan rakyat langsung tidak ada Tuhan di dalam hatinya.
2.Jika ulama sendiri mencari dunia, maka pemimpin dan rakyat akan mengejar dunia sungguh-sungguh.
3.Jika ulama tidak dapat dijadikan model ikutan, pemimpin dan rakyat akan meninggalkan ulama dan mengikut para penyanyi dan pelakon sebagai model ikutan mereka.
4.Jika ulama pintu hatinya tertutup daripada hidayah Allah, pemimpin dan rakyat akan mati hati mereka daripada mendapat hidayah Allah.
5.Jika ulama tidak mendapat hidayah, segala ungkapannya terhadap pemimpin dan rakyat akan menjadi seperti mencurahkan air ke atas kulit telur burung kasawari.
6.Jika ulama malu beramal dengan amalan sebenar Islam, pemimpin dan rakyat akan tidak mahu lagi beramal dengan sunnah.
7.Jika ulama sudah tidak takutkan Allah, pemimpin hilang takut kepada ulama dan rakyat akan hilang segan kepada ulama.

Para ulama sepatutnya melihat keadaan masyarakat yang amat kronik pada hari ini dan berasa amat risau dengan apa yang telah berlaku. Ingatlah, apa yang berlaku pada hari ini adalah akibat daripada sikap para ulamanya yang tidak berjihad pada jalan Allah dengan sungguh-sungguh. Mereka sepatutnya melihat apa yang berlaku di atas dan apa yang terjadi di bawah. Kalau tidak terasa apa-apa pada lubuk hatinya, itu tandanya hati ulama itu telah benar-benar mati daripada mendapat hidayah Allah. Kita pasti akan ditanya apa yang telah kita lakukan untuk memperbaiki kerosakan umat yang berlaku pada hari ini.

Apabila pemimpin yang di atas sudah rosak, itu tandanya bahawa institusi ulama sudah rosak. Hadis Nabi SAW ada menyebutkan bahawa rosaknya pemimpin adalah dikeranakan oleh rosaknya para ulama. Sekiranya institusi ulama tidak rosak, para pemimpinnya juga pasti tidak akan rosak. Jika rosak pun, tidaklah seteruk yang berlaku pada hari ini. Hal ini sudah dijelaskan oleh baginda SAW sejak awal-awal lagi. Jika ulamanya bertakwa, pasti para pemimpinnya akan menjadi pemimpin yang baik kepada rakyat. Kemudian, apabila rakyat biasa sudah rosak, malah amat kronik pula keadaannya, maka ketahuilah bahawa itu dikeranakan oleh rosaknya pemimpin mereka tadi, dan kita telah ketahui bahawa rosaknya pemimpin disebabkan oleh rosaknya para ulama.

Maka jelaslah di sini, ulamalah yang memikul tugas yang amat berat dan besar, yang diletakkan di atas pundak mereka oleh Allah. Allah tidak berikan mereka kelebihan ilmu-Nya secara percuma atau tanpa tanggungjawab yang menyertainya. Oleh itu, berbahagialah sesiapa yang menerima kelebihan ilmu-Nya dan berbahagialah pula orang yang diberi kemampuan menunaikan amanah-Nya itu. Maka fikirkanlah semua ini wahai orang yang berstatus ulama!

Bagaimanakah caranya untuk mengatasi semua masalah yang amat besar, rumit dan payah ini? Jawapannya ialah dengan kembali semula kepada apa yang diperintahkan oleh baginda SAW di dalam hadisnya iaitu mencari siapa dia pemimpin yang telah Allah tunjukkan untuk zaman ini. Kita masih lagi berada pada awal kurun Hijrah. Oleh itu, marilah kita cungkil semula hadis-hadis yang berkaitan dengan peristiwa akhir zaman. Semoga dengan itu kita akan dapat mencari, mencungkil, membuka dan menjawab persoalan penting; Siapa dia pemimpin yang ditunjuk itu untuk zaman kita ini? Hanya dengan mendapatkan orang yang Allah telah utuskan untuk memimpin umat pada zaman ini sahajalah tanggungjawab yang sedang dipikul (sebenarnya mereka sudahpun tidak terpikul!) oleh para ulama ini dapat dialihkan kepada pemimpin itu. Hanya dia sahaja yang mampu menyelesaikan tugas yang tidak terpikul oleh para ulama itu, biar pun mereka berkongsi beramai-ramai untuk cuba memikulnya.

Setelah itu, tunjukkan dan hebahkan kepada orang ramai bahawa inilah dia pemimpin yang ditunjuk oleh Allah untuk sekalian manusia pada zaman ini, supaya mereka dapat mengenalinya, melihatnya, mentaatinya dan menjadikan dia sebagai pemimpin mereka. Dengan itu, para ulama boleh tidur dengan aman damai dan selesa di dalam rumah masing-masing kerana beban mereka sudah terlepas dan jika mati pun, bolehlah mati dengan senyuman dan wajah yang berseri-seri. Insya-Allah akan selamat pula di dalam kubur dan selamat juga di akhirat sana. Tidakkah semua ini menjadi impian emas (golden dreams) kita sebagai seorang ulama? Jika semua ini tidak ada, apa peranan kita sebenarnya? Oleh itu, carilah jalan dari mana kita hendak bermula. Ingatlah, perjalanan yang jauh bermula daripada langkahan yang pertama. Jika tidak mula melangkah, kita tidak akan sampai ke mana pun.

No comments:

Post a Comment