Wednesday, 23 February 2011

0142 Imam Mahdi Al-Arqam

Di negara kita Malaysia, terdapat beberapa kes Imam Mahdi palsu. Kebanyakan pendakwa sebagai Imam Mahdi itu gagal menunjukkan bukti yang sahih, sama ada berdasarkan dalil aqli ataupun naqli. Pendakwa Imam Mahdi itu juga dengan mudah dapat dikenal pasti dan dikuburkan oleh pihak berkuasa, tanpa perlu bersusah payah dan tanpa membuang banyak tenaga dan masa. Memang diakui dari semasa ke semasa sentiasa ada sahaja peribadi yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi di negara ini, termasuk juga beberapa orang wanita.

Pusat Islam Malaysia, selaku badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menguruskan hal ehwal agama di Malaysia, mempunyai senarai lengkap nama-nama orang yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi, pertubuhan dan jemaah yang dibawanya dan bentuk tindakan yang diambil terhadap mereka dan pengikut mereka. Ini dikeranakan sememangnya mereka itu sesat lagi menyesatkan, jahil dan mempunyai kepentingan tertentu. Orang yang sememangnya sesat memang mudah dikalahkan dan dibasmi. Tidak perlu susah-susah atau habiskan banyak masa, tenaga, wang ringgit dan fikiran, sekali pukul sahaja semuanya terus rebah.

Dan semua rakyat Malaysia, yang Islam mahupun yang bukan Islam, telah diberitahu secara sensasi dengan cerita bahawa Jemaah Al-Arqam mempunyai Imam Mahdinya sendiri. Laporan mengenai Imam Mahdi Al-Arqam itu diperbesar-besarkan oleh pihak media arus perdana, seperti akhbar, majalah, buletin, risalah dan media elektronik selama kira-kira setahun atau lebih. Akibatnya seluruh rakyat Malaysia kini sudah mengetahui siapa peribadi Imam Mahdi yang didakwa oleh Al-Arqam itu sebenarnya. Kisah itu dikatakan berpunca daripada kepercayaan para pengikut Al-Arqam terhadap seorang tuan guru yang meninggal dunia di Kelang hampir seratus tahun dahulu yang didakwa masih hidup dan bakal muncul semula sebagai Imam Mahdi.

Dan seperti yang biasa yang dilakukannya, Pusat Islam atau Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) atau Baheis (Bahagian Hal Ehwal Islam), Jabatan Perdana Menteri Malaysia telah berusaha bersungguh-sungguh memerangi ajaran sesat Al-Arqam yang mencanangkan tok gurunya itu sebagai Imam Mahdi. Dalam hal ini, Pusat Islam tidak dianggap pelopor, sebaliknya bersifat mengekor dan dilihat banyak bermain politik dalam tindakannya.

1.Yang mula-mula menyatakan Al-Arqam sesat bukanlah Pusat Islam, tetapi kumpulan akhbar Utusan Melayu Malaysia Berhad, melalui semua penerbitan mereka. Mereka mula-mula menyatakan bahawa sebuah kumpulan sesat telah muncul di Sungai Penchala sekitar tahun 1971 lagi. Ketika itu Pusat Islam tidak ambil pusing pun, malah bukak sebelah mata pun tidak terhadap isu yang ditimbulkan oleh Utusan Melayu ini. Walhal pada lazimnya, jika sesuatu kumpulan itu dikatakan sesat, lekas sahaja Pusat Islam turun padang dan terus mengambil tindakan. Sejak itu, dari semasa ke semasa Kumpulan Utusan terus-menerus menyiarkan berita mengenai keburukan Al-Arqam, sedangkan Pusat Islam masih terus lena dalam urusannya sendiri.

2.Yang mula-mula memanggil pemimpin Al-Arqam untuk menemuinya pada tahun 1979 bukanlah Pengarah Pusat Islam atau para pegawai atasannya, tetapi adalah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad, merangkap Menteri Dalam Negeri. Orang-orang di Pusat Islam tidak pernah pun mempelawa mana-mana wakil dari Al-Arqam untuk bertemu muka bermuzakarah tentang perkara-perkara yang diperselisihkan. Tahu-tahu, Al-Arqam sudah dijatuhkan hukuman sesat dan mesti diharamkan segala-galanya, termasuk perkara yang tidak sepatutnya diharamkan. Patutnya Pusat Islamlah yang pertama dan mula-mula ditemui oleh Ustaz Haji Ashaari memandangkan soal akidah dan Imam Mahdi adalah di dalam bidang kuasa yang ada pada mereka, bukannya pada Timbalan Perdana Menteri. Pengharaman itu juga tidak dibuat secara serentak dan dengan sebab-sebab yang berbagai-bagai pula. Tidak ada keselarasan dalam keputusan dan tindakan. Masing-masing negeri dan kementerian mengharamkan Al-Arqam dengan alasan masing-masing dan pada masa yang berlain-lain pula.

3.Tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Pusat Islam terhadap Al-Arqam tidak pernah yang konsisten. Sekejap kata sesat, sekejap kata membahayakan keselamatan, sekejap kata boleh merosakkan akidah, sekejap kata ingin ambil alih pemerintahan negara, sekejap kata militan, sekejap kata bertukar corak, dan seterusnya dan seterusnya. Sikap yang tidak konsisten ini menyebabkan semakin ramai orang yang keliru. Yang bercakap itu pula hanyalah orang yang itu itu juga. Tiada orang lain yang boleh bercakap mengenainya. Peluang tidak pernah diberi kepada pihak Al-Arqam untuk membela diri atau menjawab segala pertuduhan yang dibuat. Maknanya, tuduhan-tuduhan sesat itu sendiri dijadikan sebagai salah satu alasan untuk mengharamkan Al-Arqam. Jelasnya, tuduhan sesat itu hanyalah plaster terbesar daripada sekian banyak plaster yang lain yang harus digunakan untuk mengharamkan Al-Arqam ini.

4.Orang-orang politik campur tangan dalam hal Al-Arqam. Apabila orang-orang politik turut campur untuk mengharamkan Al-Arqam, orang akan berkata, ini adalah isu politik sahaja dan bukannya soal akidah. Apa perlunya ahli-ahli politik masuk campur dalam soal agama, terutamanya dalam soal akidah seperti ini? Apakah mereka sudah mempunyai ilmu agama yang mencukupi untuk memperkatakan soal ini? Akhirnya, orang ramai pula yang bertambah yakin bahawa isu Al-Arqam ini mempunyai motif politik yang kuat. Apabila ulama tertinggi Pas turut mengakui bahawa Al-Arqam sesat, maka bertambah yakin lagilah orang ramai bahawa isu ini sebenarnya adalah isu politik sahaja, bukannya isu akidah. Pihak ulama Pas hanya menyatakan bahawa Al-Arqam sesat tetapi tidak menunjukkan apa dan di mana sesatnya itu. Anehnya, Dewan Ulama Pas tidak pernah bermesyuarat pun untuk mengharamkan Al-Arqam. Tuduhan sesat itu sebenarnya hanyalah kambing hitam Pusat Islam yang turut ditumpang sekaki disembelih oleh pihak Pas.

Imam Mahdi yang dimaksudkan oleh Al-Arqam adalah Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi yang lahir di Tanah Jawa, dikatakan meninggal dunia di Kelang dan makamnya masih terdapat di sana, dijaga dengan rapi hingga ke hari ini. Kisah dan riwayat hidup beliau telah penulis berikan pada bahagian sebelum ini. Silalah semak ke bahagian berkenaan, di bawah tajuk Ada Dua Orang Imam Mahdi? Penulis tidak berhajat memanjangkan lagi kisah tersebut pada bahagian ini.

Mula munculnya kisah Imam Mahdi bagi orang-orang Al-Arqam itu tersebar dikeranakan Ustaz Mokhtar Yaakub, orang kanan nombor satu Al-Arqam keluar daripada jemaah berkenaan bersama-sama beberapa orang lain. Keluarnya beliau itu berjaya dieksploitasi oleh pihak Kumpulan Utusan Melayu menyebabkan perkara itu menjadi heboh dan besar, melebihi daripada sepatutnya. Beberapa tuduhan yang bersifat khilafiah dan fitnah telah dilemparkan terhadap Al-Arqam dan pemimpinnya, Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad. Lebih memburukkan keadaan, tuduhan itu dibuat melalui akhbar harian dan majalah keluaran Kumpulan Utusan Melayu. Maka hebohlah satu negara dengan isu Imam Mahdi Al-Arqam, dan sejak itu tahu benarlah orang ramai bahawa yang dikatakan sebagai Imam Mahdi itu adalah Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi, orang Kelang yang berketurunan Arab dari Keluarga Nabi SAW, menuntut di Tanah Arab beberapa lama, pernah tinggal di Singapura dan berasal dari Tanah Jawa.

Al-Arqam tidak menjawab tuduhan-tuduhan itu melalui akhbar harian dan majalah keluaran Kumpulan Utusan atau akhbar-akhbar lain, tetapi menjawabnya melalui buku yang ditulis sendiri oleh Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad. Tajuknya ialah Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, Sekali gus Menjawab Tuduhan. Buku yang mula dijual sekitar bulan Oktober 1986 itu mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai, terutama yang inginkan jawapan tepat dan sebenar daripada pihak Al-Arqam sendiri. Mereka ingin tahu apakah ada hujah dan nas agama dalam persoalan yang ditimbulkan oleh askar-askar upahan Pusat Islam dan dibantusebarkan oleh media-media arus perdana di negara ini.

Dan seperti yang dimaklumi, Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad menyatakan secara terus terang bahawa beliau mempercayai dan berkeyakinan bahawa pengasas Aurad Muhammadiah, Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi itu masih belum mati dan bakal muncul sebagai Imam Mahdi yang selalu disebut-sebut itu. Pusat Islam menekankan bahawa pendapat beliau ini jauh bercanggah daripada pengakuan pertamanya yang dibuat sebelum ini (tahun 1979) di hadapan Dr Mahathir. Namun keyakinannya ini hanyalah setakat zanni sahaja, bukan qat’ie.

Menurut Mustaffa Suhaimi, sekurang-kurangnya ada enam faktor besar yang menyebabkan konsep Imam Mahdi di dalam buku berkenaan dianggap terpesong, berserta jawapan dan alasan daripada pihak Al-Arqam sendiri:

1.Andaian pertama ialah bahawa Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi iaitu pengasas Aurad Muhammadiah adalah bakal Imam Mahdi yang akan muncul kelak. Andaian ini dianggap salah kerana tidak ada keterangannya di dalam al-Quran atau hadis Rasulullah SAW. Sudah ramai yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi dan ternyata bahawa mereka itu pendusta. Pengakuan seperti ini adalah ramalan kosong. Selain boleh menjejaskan iman, orang yang mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan Imam Mahdi yang masih ghaib, boleh memperalatkannya untuk kepentingan peribadi atau pertubuhan tertentu.
Pihak Al-Arqam pula menjelaskan bahawa menurut kaedah syarak, menentukan seseorang sebagai Imam Mahdi tidak menjejaskan iman dan tidak ada salahnya. Sebabnya konsep Imam Mahdi itu sendiri dipertikaikan oleh para ulama, di samping ada beberapa ulama (terutamanya ulama sufi) dan golongan (antaranya Syiah) yang telah menentukan siapa dia Imam Mahdi itu sendiri. Ramalan seperti ini bukanlah ramalan kosong tetapi merupakan suatu ijtihad, dan jika tersalah dalam ijtihadnya itu, tidaklah sampai berdosa. Ramai ulama yang mengakui bahawa masalah Imam Mahdi adalah soal khilafiah, soal furuk dan hanya Pusat Islam sahaja yang diketahui (menurut sepanjang sejarah Ahlus Sunnah ini) yang menyatakan bahawa soal Imam Mahdi adalah soal akidah. Maka menurut ulama, sebarang pendapat yang berlawanan dalam soal ini tidak boleh dihukumkan sesat, bidaah atau kufur. Selagi ijtihad mereka tidak menyalahi syarak, maka hal itu dibenarkan sahaja oleh Islam. Sungguhpun ramai yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi dan akhirnya didapati berdusta, ini tidaklah dapat dijadikan sebab untuk kita menafikan terus hadis mutawatir maknawi yang banyak itu. Apabila Imam Mahdi yang sebenar muncul, semua Mahdi palsu itu akan sirna juga. Imam Mahdi yang sebenar semasa muncul kelak hanya ada satu, tidak ada dua atau tiganya. Mengenai perbuatan memperalatkan nama Imam Mahdi untuk kepentingan peribadi, itu adalah hal ghaib yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Mana kita tahu apa yang dikatakan oleh hati seseorang? Layakkah kita menghukumnya hanya berdasarkan syak wasangka kita sahaja? Pusat Islam sendiri memperalatkan banyak pihak untuk tujuan peribadi dan golongan tertentu, tidakkah itu juga suatu perbuatan yang salah? Kita tidak boleh menghukum seseorang berdasarkan apa yang dia fikirkan tetapi tidak/belum dilakukannya lagi. Perkara-perkara begitu hanya Allah sahaja yang tahu dan Dia sahaja yang layak menghukumnya.

2.Konsep Imam Mahdi itu sendiri diragui oleh sesetengah ulama berasaskan rumusan bahawa hadis-hadis mengenai Imam Mahdi adalah lemah. Sebahagian ulama seperti Ibnu Khaldun, Al-Maududi dan Rasyid Ridha menolak terus konsep Imam Mahdi. Ibnu Khaldun menganggap hadis-hadis mengenai Imam Mahdi adalah hadis-hadis dhaif, maka harus ditolak terus konsep Imam Mahdi itu. Al-Maududi pula menyatakan kuasa ajaib yang ada pada Imam Mahdi adalah cerita dongeng yang didatangkan dari pengaruh bukan Islam.
Bagi Al-Arqam pula, memang konsep Imam Mahdi ditolak oleh sebahagian kecil ulama, tetapi diterima oleh sebahagian besar ulama. Sebahagian lagi bersikap pertengahan iaitu tidak menolak dan tidak pula menerima sepenuhnya. Pusat Islam hanya mengemukakan pandangan sebelah pihak sahaja, tanpa mengemukakan pandangan pihak yang satu lagi. Ibnu Khaldun silap dalam rumusannya kerana jumlah tiga puluh buah hadis yang dikajinya itu sebenarnya sudah mencapai taraf mutawatir maknawi, kerana menceritakan tentang tajuk yang sama, walaupun isinya berbeza-beza. Kerana itulah pandangan Ibnu Khaldun itu ditolak kerana beliau tidak mendalam ilmu dan kefahamannya terhadap selok-belok ilmu mustalah hadis. Al-Maududi pula dianggap silap dalam pandangannya kerana beliau tidak mendalami maksud tersirat daripada hadis-hadis berkenaan. Beliau membuat rumusan berdasarkan isi lahir daripada hadis-hadis itu, lalu membuat andaian bahawa cerita itu adalah dongeng, sedangkan yang dikatakannya dongeng itu sebenarnya adalah hadis-hadis Nabi SAW! Bagaimana orang yang fikirannya setinggi itu boleh melakukan kesilapan yang sebesar ini? Lagi pun beliau tidak mempunyai pendirian yang konsisten dalam hal ini, kerana pada satu ketika beliau menerima dan pada ketika yang lain beliau menolaknya pula tanpa menyatakan sebab-sebab perubahan pendiriannya itu.

3.Pengasas Aurad Muhammadiah, Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi, dikatakan tidak mati pada hal jasadnya diakui telah dikebumikan di Simpang Lima, Kelang. Pusara yang dijaga dengan baik itu juga diakui sebagai pusara beliau. Kenyataan ini dianggap berlawanan dengan hakikat kejadian setiap makhluk yang pasti akan mati apabila sampai masanya. Orang yang sudah mati juga tidak akan bangun kembali menjadi Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu itu.
Al-Arqam mengakui mereka meyakini Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi itu masih hidup dan bakal menjadi Imam Mahdi. Pusat Islam seperti tidak faham, atau buat-buat tidak faham, atau memang tidak faham-faham, atau tidak mahu faham dengan penggunaan ayat masih hidup atau belum mati, kerana Pusat Islam sentiasa sahaja menggunakan ayat tidak mati dalam setiap tuduhannya. Lalu daripada situ mereka berkata Al-Arqam berakidah salah kerana menganggap seseorang itu tidak mati, seperti tidak matinya Tuhan. Al-Arqam juga mengakui bahawa seseorang yang sudah mati tidak akan dapat bangun lagi, lalu menjadi Imam Mahdi kerana yang telah mati tetaplah mati, memang tidak akan bangun lagi melainkan pada hari kiamat kelak. Bagaimana kesilapan pemahaman sebesar ini boleh berlaku sedangkan matinya makhluk ini adalah soal akidah yang terpokok? Lagipun diakui bahawa Imam Mahdi itu bertaraf wali, maka mungkin sahaja umurnya Allah panjangkan lebih daripada manusia biasa, dighaibkan sementara dan kemudian nanti akan dimunculkan semula sebagai Imam Mahdi. Hal ini bagi para wali disebut sebagai karamah dan bagi para rasul disebut sebagai mukjizat. Kedua-duanya adalah perkara yang menyalahi adat kebiasaan, tetapi benar-benar berlaku. Orang-orang Al-Arqam tidak pernah menganggap bahawa Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi itu tidak akan mati, hanya dikatakan belum mati dan masih hidup. Itu sahaja. Apabila sampai umurnya kelak, Imam Mahdi itu tetap akan mati juga, sama seperti matinya orang lain.

4.Lafaz syahadah di dalam Aurad Muhammadiah dikatakan telah diubah dengan ditambah nama-nama khalifah yang berempat dan juga Muhammad al-Mahdi. Syahadah tidak boleh ditambah, dikurangi atau diubah. Perbuatan demikian dihukumkan bidaah dan sesat, boleh mengelirukan orang ramai. Perbuatan menganggap ada lagi khalifah Rasulullah selain daripada khalifah yang berempat adalah menyalahi syarak dan bertentangan dengan hadis. Jika ada pun khalifah yang boleh dimasukkan sebagai Khalifah Rasulullah, hanyalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz sahaja.
Menurut Al-Arqam, kalimah syahadat itu tidak ditambah atau dikurang atau diubah. Kalimah syahadat itu tetap seperti asalnya. Ayat-ayat berikutnya bukan lagi merupakan syahadah kerana tidak ada perkataan Asyhadu lagi di hadapannya. Bacaan ini pun sebenarnya bukanlah syahadah, tetapi hanyalah salah satu wirid di dalam Aurad Muhammadiah. Namanya sahaja pun sudah Aurad, bukannya Syahadah. Pusat Islam silap besar dalam pemahamannya kerana mengatakan bacaan ini sebagai syahadah. Ekoran itu timbullah tuduhan dan implikasi yang sengaja direka-reka untuk mengelirukan lagi orang ramai. Bacaan-bacaan Aurad ini tidak sepatutnya mengelirukan orang ramai kerana Aurad ini bukannya boleh disebarkan sesuka hati kepada orang ramai. Hanya orang-orang yang telah mendapat ijazah khusus dari khalifah Aurad ini sahaja yang boleh mengamalkannya. Selepas syahadah itu, ayat berikutnya hanyalah memuji para khalifah Rasulullah SAW yang berempat. Tuduhan ini menampakkan betapa dangkalnya ilmu dan kurangnya kefahaman Pusat Islam (atau sengaja buat-buat tidak faham) terhadap masalah yang dihadapinya. Lafaz syahadah juga sebenarnya boleh ditambah dan dikurang menurut keperluan masa dan tempat. Hal ini biasa dilakukan di mana-mana pun sejak dahulu lagi, terutama dalam khutbah Jumaat dan doa selepas berwuduk.
Dan Imam Mahdi yang dikatakan sebagai khalifah Rasulullah SAW itu bukanlah dakwaan kosong, tetapi telah disebutkan sendiri oleh baginda SAW dalam beberapa buah hadis. Lihatlah hadis-hadisnya pada bahagian-bahagian berikut di dalam buku ini. Kalau Pusat Islam benar-benar mahu memarahi Al-Arqam kerana mengakui Imam Mahdi sebagai khalifah Rasulullah SAW, maka marahlah Rasulullah SAW kerana baginda sendiri yang menyebutkan demikian. Janganlah marahkan Al-Arqam kerana mereka hanya mengikut apa yang Rasulullah SAW sabdakan, bukannya pandai-pandai mereka sendiri. Rasulullah SAW pun tidak pernah menyatakan secara muktamad bahawa khalifah baginda hanya ada empat orang, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Jika ada hadis yang demikian, maka salahlah orang-orang Al-Arqam dan betullah Pusat Islam. Lagi pun alasan mereka yang menyatakan bahawa kalau ada orang lain yang boleh dimasukkan sebagai khalifah Rasulullah SAW, orang itu adalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, tidak orang lain. Alasan Pusat Islam ini sebenarnya memakan diri sendiri, kerana alasan mereka itu adalah alasan yang diberikan oleh para ulama sahaja, sedangkan penunjukan Imam Mahdi sebagai khalifah Rasulullah SAW dibuat oleh baginda SAW sendiri. Mana satu pendapat yang patut kita dahulukan, pendapat ulama atau sabda Nabi kita? Fikirlah sendiri akan jawapannya. Lagi pun, selain Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ramai ulama yang memasukkan pemerintahan Sayidina al-Hasan bin Ali RA yang enam bulan itu sebagai sebahagian daripada Khulafa ur-Rasyidin. Tapi Pusat Islam tidak pernah komen pun? Takkan tak pernah jumpa, kot?

5.Amalan Aurad Muhammadiah telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada pengasas Aurad itu di dalam Kaabah, ketika beliau dalam keadaan jaga dan sedar. Kenyataan ini dianggap salah kerana kesannya ialah bahawa Nabi Muhammad SAW itu masih hidup.
Al-Arqam tidak pernah mengatakan bahawa Rasulullah SAW itu masih hidup. Rasulullah SAW tetaplah sudah wafat sejak lebih seribu empat ratus tahun dahulu. Semua orang bersepakat mengenai kewafatannya. Yang ditemui oleh Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi itu adalah roh Rasulullah SAW. Roh Rasulullah tetap boleh ditemui oleh orang-orang tertentu sama ada melalui mimpi atau secara jaga, dari semasa ke semasa, lazimnya orang-orang yang bertaraf ulama sejati atau wali-wali, sama ada sekali atau berkali-kali. Dalam peristiwa Israk, Rasulullah SAW bersembahyang mengimamkan nabi-nabi dan rasul-rasul, yang semuanya telah wafat di Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis. Dan yang Rasulullah SAW temui dalam peristiwa itu adalah roh mereka, kerana mereka itu kita ketahui telah sedia wafat sejak ratusan malah ribuan tahun yang lalu.
Dalam peristiwa Mikraj pula, Rasulullah SAW menemui lagi mereka ini pada setiap lapisan langit, baginda SAW memberi salam dan mereka menjawab salam itu. Sempat pula bertanya khabar, malah Nabi Musa AS yang telah lama arwah itu sempat menangis di hadapan baginda SAW. Nabi Ibrahim AS duduk bersandar di atas kerusi kemegahannya, sedangkan beliau telah lama mati. Sempat pula diajarnya baginda SAW zikir untuk diamalkan oleh umat Islam seluruhnya. Malah sembahyang yang lima waktu ini, sebenarnya berjumlah lima puluh kali. Atas nasihat Nabi Musa AS yang telah lama arwah itu, baginda SAW memohon agar dikurangkan jumlahnya sehingga akhirnya menjadi lima waktu sahaja seperti yang ada pada hari ini. Apakah dengan cerita Israk dan Mikraj ini, Pusat Islam menganggap Rasulullah SAW bersalah besar kerana kesannya ialah bahawa rasul-rasul itu semuanya masih hidup?

6.Kenyataan bahawa Aurad Muhammadiah itu diajar oleh Nabi SAW kepada Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi setelah Rasulullah SAW wafat, membawa pengertian bahawa masih ada syariat Nabi SAW yang boleh disampaikan sesudah Rasulullah SAW wafat. Kepercayaan seperti ini amat mengelirukan kerana kesannya ialah wahyu dan hadis masih boleh disampaikan oleh Nabi SAW sedangkan baginda telah lama wafat. Sesudah baginda SAW wafat, tidak ada lagi nabi atau rasul baru, tidak ada wahyu atau hadis lain, atau syariat lain.
Keterangan Pusat Islam ini menampakkan kejahilan dalaman mereka sendiri. Kalau Rasulullah SAW boleh menerima ijazah wirid daripada Nabi Ibrahim AS dalam peristiwa Mikraj, apakah Rasulullah SAW yang lebih tinggi kedudukannya daripada Nabi Ibrahim AS tidak boleh memberikan ijazah wirid kepada umatnya sendiri? Lagipun, Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi itu dipercayai dan diyakini bertaraf wali besar, maka layaklah beliau mendapat kelebihan bertemu dengan baginda SAW secara jaga dan menerima wirid khas untuk diamalkan olehnya dan oleh pengikut-pengikutnya. Jika Wali Songo boleh bertemu secara jaga dengan baginda SAW di Kaabah, menerima wirid dan mendapat sebuah geriba sebagai buah tangan tidak pun dikatakan bersalah, apakah Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi yang hanya menerima ijazah wirid itu dapat pula dikatakan bersalah? Lagipun mana ada syariat baru yang dibawa oleh Syeikh as-Suhaimi. Apakah yang semata-mata wirid itu pun mahu dianggap sebagai syariat juga?
Dato Mufti Brunei menjelaskan dengan tegas bahawa ‘Adapun syariat mengenai hukum halal dan haram telah tertutup dengan terhentinya wahyu dan sesudah wafatnya Rasulullah SAW.’ Dato Mufti Brunei itu adalah salah seorang anak murid beliau juga, tidak pernah beliau mendapati gurunya itu bersalah. Lagipun, Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi itu adalah jelas datang dari anak cucu keturunan baginda SAW sendiri, apalah salahnya seorang datuk menziarahi cucu-cicitnya yang masih hidup, sekalipun dia sendiri sudah lama meninggal dunia.

Berdasarkan alasan-alasan syar’ie yang diberikan oleh Pusat Islam di dalam buku terbitannya, khusus mengenai kesesatan akidah Al-Arqam, nyatalah alasan-alasan tersebut adalah hujah-hujah lama yang pernah diberikan oleh Ibnu Taimiyah, Muhammad bin Abdul Wahab dan Ibnu Khaldun. Tidak alasan dan hujah baru yang mereka buat. Pendek kata, hujah yang diberi adalah hujah orang yang menentang konsep tasawuf dan keramat wali-wali, termasuk Imam Mahdi. Hujah dan alasan Pusat Islam itu jika diteliti benar-benar, amatlah lemahnya dan langsung tidak dapat digunakan apatah lagi dalam soal-soal penting begini, yang melibatkan akidah (kata Pusat Islam sendiri). Al-Arqam pula membawakan hujah yang diberi oleh para ulama terkemuka sepanjang zaman, yang semuanya mengamalkan tasawuf dan bertaraf wali serta mempercayai kemunculan Imam Mahdi. Boleh dicari dengan mudah di dalam kitab-kitab besar.

Pertembungan pendapat seperti ini sebenarnya tidak menguntungkan mana-mana pihak pun, kerana itu hanyalah memanjangkan sengketa yang telah sedia wujud sejak dahulu mengenai Imam Mahdi. Masalah perselisihan umat Islam mengenai konsep Imam Mahdi tetap tidak selesai juga. Pusat Islam juga dilihat tidak berminat menyatukan pandangan seluruh umat dalam masalah ini. Mereka dilihat lebih berselera menyerang dan menghentam Al-Arqam sahaja. Dan dari satu segi, sengketa ini menampakkan kekurangan-kekurangan yang nyata pada pihak Pusat Islam, baik dari segi keprihatinannya terhadap permasalahan umat Islam, keupayaannya menghapuskan kegiatan ajaran sesat, ketegasannya menghadapi sesuatu situasi, dan paling penting telah menghapuskan wibawanya sendiri pada mata umum. Mereka dilihat kalah besar dalam menang yang kecil. Menang tetapi kalah. Berjaya tetapi tidak diraikan kejayaannya. Menang tanpa berlawan, atau menang setelah lawannya diikat kaki tangan dan ditutup matanya, kemudian dihentam habis-habisan. Hanya pengadil kayu sahaja yang akan mengisytiharkan Pusat Islam sebagai pemenang.

Apa pun, Al-Arqam berjaya juga dikuburkan, pergerakan itu dibubarkan, pemimpin-pemimpin kanannya satu demi satu ditahan di bawah ISA dan perkampungan Islam mereka keseluruhannya disita, semuanya pada sekitar akhir tahun 1994 dan diikuti oleh gerakan kali kedua pada 1996. Namun satu perkara yang seolah-olah dilupakan orang ialah pertubuhan Al-Arqam tidak dibubarkan oleh Pusat Islam, atau Kementerian Dalam Negeri, atau Pendaftar Pertubuhan, atau oleh Perdana Menteri, atau oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, atau sesiapa sahaja. Al-Arqam sebenarnya dibubarkan oleh pemimpin tertingginya sendiri iaitu Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad, yang sekitar awal tahun-tahun 1990-an mula menggunakan panggilan lengkapnya Abuya Syeikh Imam Ashaari bin Muhammad At-Tamimi. Jelaslah, bahawa Al-Arqam dihapuskan akibat dosa-dosa ahlinya yang banyak dan kelemahan yang nyata, bukan kerana gagahnya Pusat Islam dan pasukan upahannya. Pergerakan yang hakiki sekali-kali tidak akan dapat dikalahkan oleh musuh zahir mereka. Itu adalah janji Allah dan rasul-Nya. Ingat, Dia adalah Maha Teguh pada janji-janji-Nya.

Inilah persoalan sebenar yang tidak dinampak oleh kebanyakan orang termasuk kalangan pejuang-pejuang Al-Arqam sendiri. Pejuang Islam tulen tidak boleh punya banyak dosa, nescaya mereka akan tertinggal di belakang, malah akan lebih teruk lagi perangainya daripada orang-orang awam biasa, selepas itu. Pejuang Islam tulen adalah orang-orang yang suci zahir dan batinnya. Akibatnya, mana-mana yang tidak berapa faham akan perjuangan sebenar mereka, mahu tidak mahu pasti terkeluar daripada saf perjuangan sebenar, sama ada sebelum pembubaran Al-Arqam, atau pada peringkat awal pembubaran Al-Arqam itu, mahupun setelah beberapa lama masa berlalu.

Peristiwa pengharaman Al-Arqam dengan isu Imam Mahdinya yang berbangsa Jawa-Arab itu sebenarnya membuka mata ramai bahawa Imam Mahdi itu kelak adalah orang Melayu juga, dan bangsa inilah yang akan menguasai seluruh dunia dengan kekuatan Islam yang mereka punyai. Kekuatan Islam itu kini sebenarnya sudah berada dalam jiwa sanubari umat Melayu. Hanya kerana tiada lagi pemimpin Islam sejati yang dapat menonjolkannya, maka kekuatan dalaman itu masih tetap terpendam di dalam jiwa umat Melayu. Dan masa untuk kekuatan dalaman itu meletus sudah amat hampirnya kini. Dalam peristiwa pengharaman Al-Arqam ini, yang paling beruntung adalah bakal Imam Mahdi itu sendiri, kerana mendapat publisiti percuma dan cukup meluas daripada pihak akhbar dan pihak berkuasa Malaysia. Ustaz Haji Ashaari sendiri turut mendapat publisiti yang meluas dan lama, walaupun terpaksa menderita sebentar di dalam tahanan ISA, yang sisa-sisa kesakitannya masih lagi terasa hingga kini.

Peristiwa pahit dan paling hitam dalam sejarah umat Islam di Malaysia yang berkaitan dengan Imam Mahdi ini patut menjadi iktibar paling berguna kepada kita semua. Jangan menggunakan isu agama untuk membunuh agama. Sungguhpun Al-Arqam berjaya dihapuskan di Malaysia, yang sebenarnya mereka hapuskan itu hanyalah jemaah zahirnya sahaja. Al-Arqam adalah jemaah zahir, sedangkan jemaah hakikinya ialah Jemaah Aurad Muhammadiah. Jemaah hakiki ini tetap tidak berjaya dihapuskan atau diharamkan. Tidak ada alasan yang kukuh yang berjaya dibawa untuk mengharamkan Aurad berkenaan. Maka hingga ke hari ini, Aurad Muhammadiah ini telah berkembang dan semakin berkembang, sesuai menurut keadaan semasa, kerana ini adalah zaman untuk Aurad itu berkuasa.

Yang paling malang bagi Pusat Islam ialah mereka hanya mampu berkokok di dalam rebannya sendiri. Benar, mereka hanya berjaya menghapuskan Al-Arqam di Malaysia sahaja, sedangkan Al-Arqam di luar negara telah begitu kukuh, hingga tidak terjejas walau sedikit pun. Di luar negara, logo Al-Arqam masih digunakan hingga ke hari ini, Aurad Muhammadiah tetap mereka amalkan secara bebas di kalangan mereka, mereka teruskan aktiviti-aktiviti perekonomian dan kemasyarakatan secara terbuka seperti dahulu juga, memakai pakaian yang sama seperti dahulu juga dan segala-galanya seperti biasa, malah kini semakin diperkemaskan lagi. Pusat Islam gagal mengharamkan Al-Arqam di luar negara. Tidak payah jauh-jauh, di Singapura sahaja logo Al-Arqam masih bebas terpampang di sana-sini. Di Indonesia, Jemaah Al-Arqam cukup berpengaruh di kalangan rakyat, perekonomiannya cukup meluas, program kemasyarakatannya meliputi, malah mereka bebas keluar masuk ke Istana Presiden. Begitu juga di Thailand, China dan kawasan-kawasan di sekitar Khurasan. Al-Arqam juga sudah bertapak lama di Tanah Arab. Semuanya ini tidak terharamkan oleh Pusat Islam yang hanya mampu melihat dari jauh sahaja, kerana di luar bidang kuasanya.

Yang lebih malang lagi, Pusat Islam sendiri dilihat tidak mempunyai satu bentuk pendirian yang muktamad terhadap isu Imam Mahdi ini, ketika badan itu sibuk memerangi Imam Mahdi Al-Arqam. Berdasarkan laporan-laporan akhbar dan media elektronik, nyata Pusat Islam sendiri bercelaru pendiriannya terhadap Imam Mahdi. Ada kalangan ahli panelnya menolak terus konsep Imam Mahdi dan menolak terus hadis-hadis mengenainya. Ada pula yang menerima konsep Imam Mahdi tetapi menolak pendapat bahawa Imam Mahdi itu berbangsa Melayu, walaupun campuran Arab-Melayu. Ada yang menerima konsep Imam Mahdi tetapi menolak terus konsep Pemuda Bani Tamim. Ada pula yang menerima konsep Pemuda Bani Tamim tetapi menolak pendapat bahawa Pemuda Bani Tamim itu dari Malaysia, yakni menolak pendapat bahawa Pemuda Bani Tamim itu adalah Ustaz Haji Ashaari Muhammad. Pusat Islam sendiri terpaksa berhempas pulas menentang Al-Arqam yang keseorangan itu, walaupun setelah mendapat bantuan penuh pelbagai pihak yang memberikannya bantuan. Dan, Pusat Islam sehingga ke hari ini masih lagi gagal menjelaskan pendirian muktamadnya terhadap konsep Imam Mahdi itu sendiri.

Namun, oleh kerana penolakan Pusat Islam itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil dan hujah yang qat’ie, maka sesiapa pun tidak boleh dipaksa menerima atau menolak pendapat mereka itu. Pendapat mereka itu kekal sebagai suatu pendapat sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Tidak ada walau sebuah hadis pun yang dapat dikemukakan untuk menolak pendapat dan ijtihad yang telah dikeluarkan oleh Al-Arqam itu. Mana dia hadis yang dapat digunakan untuk menolak segala perkara yang telah ditimbulkan oleh Al-Arqam itu? Mana dalil yang dapat digunakan oleh mereka untuk mengharamkan segala pendapat Al-Arqam? Pendapat lawan pendapat, bolehkah diharamkan salah satunya? Hukum dan kaedah mana yang diguna pakai oleh Pusat Islam? Jika dinilai baik-baik dan teliti antara kedua-dua pendapat itu, pendapat siapakah yang lebih berwibawa dan konsisten untuk dianggap sebagai lebih benar? Walau apa pun, kita sebagai orang awam patut mengikut sahaja apa yang telah diputus dan ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah menetapkan bahawa Al-Arqam patut diharamkan.

Kita tidak bermaksud untuk mengungkit kembali apa yang telah berlaku dan telah diputuskan hukumnya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu. Dan kita juga tidak bermaksud untuk membuka kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan oleh Pusat Islam itu. Tidak juga bermaksud mahu mencabar keputusan muktamad yang telah dibuat oleh Pusat Islam itu. Pengharaman Al-Arqam sebenarnya membawa rahmat dan kebaikan yang sangat banyak, yang tidak ternilai harganya kepada seluruh anggota perjuangan Islam. Sungguh, pengharaman Al-Arqam membawa lebih banyak rahmat dan kebaikan daripada kerugiannya, terutama kepada ahli-ahli perjuangan yang komited. Hal ini amatlah diakui sendiri oleh bekas-bekas ahli Al-Arqam. Hanya jauhari yang kenal manikam. Kalaulah Al-Arqam tidak diharamkan pada suatu ketika dahulu, sudah tentu mereka tidak akan menjadi seperti apa yang berlaku pada hari ini.

Pertubuhan Al-Arqam sangat patut diharamkan dan seterusnya dihapuskan terus dari atas bumi Malaysia ini. Ini dikeranakan tugas dan peranannya sudah selesai. Tidak ada gunanya menyimpan sesuatu yang tidak sesuai digunakan lagi. Ibarat orang yang membuka tanah baru, peringkat awal membongkar tanah dan menerangnya dari hutan rimba sudah selesai. Maka alat yang digunakan untuk menerang hutan itu tadi sudah tidak sesuai lagi jika digunakan untuk tujuan menggembur tanah, menanam benih dan membuat parit. Mustahil kapak penebang dan gergaji mesin boleh digunakan lagi untuk tujuan membuat parit dan menggembur tanah.

Pastilah alat lain yang lebih sesuai pula digunakan. Kapak dan gergaji perlu disimpan sahaja di dalam rumah. Begitulah juga dengan Al-Arqam yang digunakan untuk menebang dan menerang perdu-perdu jahiliyah sehingga tanah yang hendak digunakan sudah terang dan rata. Apabila peringkat kedua iaitu menggembur tanah, menanam benih dan membuat parit, maka Al-Arqam tidak diperlukan lagi. Simpan sahaja. Buang terus pun tidak mengapa.

Perbuatan beberapa orang bekas ahli Al-Arqam yang cuba menghidupkan semula Al-Arqam memang patut ditentang oleh setiap orang, terutamanya Pusat Islam, kerana perbuatan sedemikian adalah perbuatan orang yang buta perjuangan. Mustahillah dalam era begini, Al-Arqam masih boleh digunakan lagi. Al-Arqam adalah benda lama yang sudah tidak relevan lagi jika cuba dihidupkan oleh sesiapa pun. Jika dihidupkan juga, maka mereka yang menghidupkannya adalah orang-orang yang asas perjuangannya sudah begitu ketinggalan jauh ke belakang, sedangkan orang lain sudah amat jauh terkehadapan.

Jika dihidupkan sekali pun, jemaah itu tidak akan mampu membawa apa-apa yang bererti kepada masyarakat Islam, malah akan lebih merosakkan lagi nama jemaah Al-Arqam itu sendiri kerana ketidaksesuaiannya dengan peredaran zaman. Pejuang sejati adalah orang yang sangat peka terhadap setiap perubahan yang berlaku pada zamannya dan dia akan terlebih dahulu berubah sebelum zaman itu menerima sebarang perubahan. Barulah pejuang kebenaran itu dikatakan sebagai mendahului zamannya, bukannya sekadar mengekor zaman. Yang suka mengekor tidak boleh menjadi pemimpin umat ini dalam erti kata yang sebenarnya. Atau lebih ringkas disebut sebagai pemimpin sejati.

Hal ini perlu difahami betul-betul kerana pada peringkat kedua dan ketiga kebangkitan semula Islam, para pendukung perjuangannya tidak boleh lagi duduk di kampung-kampung, beruzlah daripada pandangan masyarakat umum. Mereka kini harus berada di bandar-bandar dan kota, mampu mendirikan bandar-bandar Islam dan bukannya lagi mendirikan perkampungan-perkampungan Islam seperti dahulu. Al-Arqam tidak lagi relevan dengan era 2000 Masihi ini kerana Al-Arqam lebih bersifat kekampungan, bukannya berimejkan kota Islam. Insya-Allah tidak lama lagi kita akan sibuk pula mendirikan negara Islam, seterusnya sibuk pula mendirikan rantau Islam dan seterusnya dunia Islam atau jagat raya Islam. Semua ini bukannya impian kosong, sebab sudah disebutkan oleh hadis-hadis yang mulia.

Berbalik kepada soal asal. Dari mana Ustaz Haji Ashaari Muhammad mendapat maklumat mengenai syeikh tarekatnya itu bakal muncul sebagai Imam Mahdi? Salah satu sumber zahirnya adalah bersandarkan kepada kenyataan yang dibuat oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Taha Suhaimi, cucu kepada Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi, seperti yang tersiar dalam akhbar Sunday Times, Singapura, pada 13 Julai 1986. Ketika itu, tidak timbul langsung apa-apa dakwaan daripada Pusat Islam bahawa Ustaz Muhammad Taha Suhaimi telah sesat dan bidaah kerana mengaku datuknya bakal Imam Mahdi. Tetapi apabila perkara yang sama disebut oleh Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad, iaitu mengulang sahaja pendapat Ustaz Muhammad Taha Suhaimi, Pusat Islam mengambil tindakan yang sangat agresif, seolah-olah singa kelaparan yang baru dikejutkan dari tidurnya oleh seekor mangsa.

Menurut Mustaffa Suhaimi, terdapat enam alasan utama mengapa cucu pengasas Aurad Muhammadiah itu iaitu Ustaz Taha Suhaimi membuat dakwaan demikian terhadap datuknya itu yang antaranya adalah;

1.Pengakuan itu sebenarnya adalah lanjutan daripada pendedahan-pendedahan lain yang telah dibuat di dalam buku Manaqib Syeikh Muhammad as-Suhaimi. Buku manaqib ini, yang ditulis dalam bahasa Jawa, seperti juga buku-buku manaqib syeikh tarekat yang lain, tidak dimaksudkan untuk sebaran umum. Sebarannya memang dihadkan kepada para pengikut dan pengamal Aurad Muhammadiah sahaja. Orang luar memang tidak perlu tahu dan tidak perlu ambil tahu akan isi kandungannya, apa lagi mempertikaikannya.
Maknanya pendedahan ini adalah sambungan daripada pendedahan yang pernah dibuat oleh bapanya sendiri. Pendedahan di dalam manaqib itu dibuat oleh anak pengasas Aurad, Ustaz Muhammad Fadhlullah Suhaimi dengan tujuan khusus untuk memperkuatkan bukti bahawa Aurad Muhammadiah itu adalah tarekat yang sah dan berasal daripada Rasulullah SAW sendiri. Tujuannya yang lain adalah untuk memberitahu para pengikut bahawa syeikh tarekat mereka telah diberi nikmat karamah yang besar oleh Allah. Dengan ini, mereka akan bertambah giat lagi beramal dengan wirid-wirid tarekat mereka itu. Hal seperti ini sudah biasa dilakukan oleh mana-mana tarekat pun, sejak dulu-dulu lagi.

2.Pendedahan itu asalnya bertujuan khusus untuk para pengikut dan pengamal Aurad sahaja, dengan tujuan meyakinkan lagi mereka bahawa Aurad yang mereka amalkan itu adalah Aurad tarekat yang benar. Tidak timbul soal orang luar ambil peduli atau tidak, percaya atau tidak, tahu atau tidak. Memang setiap pendedahan mengenai syeikh tarekat adalah khusus untuk kegunaan dalaman sahaja, tidak untuk tatapan umum, apatah lagi untuk tujuan disensasikan dalam mana-mana penerbitan. Lagi pun, pengikut dan pengamal Aurad itu semakin bertambah dan meliputi kawasan yang jauh-jauh. Pengamal Aurad ini semakin banyak terdapat di Singapura, Johor, Tanah Jawa dan Sumatera. Pendedahan terhadap datuknya ini dirasakan perlu dan dibolehkan dalam keadaan yang kukuh seperti ini.

3.Menentukan siapa dia Imam Mahdi itu secara khusus sebelum munculnya, hukumnya adalah harus dan tidak merosakkan akidah. Ini memandangkan bahawa soal ini adalah soal yang khilafiah sahaja. Atas dasar itu, beliau mengumumkan kepada para pengamal khususnya dan orang ramai amnya bahawa datuknya itu adalah bakal Imam Mahdi yang akan muncul tidak lama lagi. Ini berdasarkan beberapa isyarat dalaman yang beliau terima dan hanya beliau yang lebih memahaminya, berkat daripada Aurad yang beliau amalkan sejak dahulu lagi. Beliau yakin bahawa ijtihadnya itu adalah benar, dan mendapat pahala kerana beliau yakin beliau sudah mendapat ilmu yang mencukupi dan mencapai tahap mampu mengeluarkan ijtihadnya sendiri, khusus dalam soal Imam Mahdi ini sahaja.

4.Pengakuan itu tidak dibuat oleh pengasas Aurad Muhammadiah itu sendiri, juga tidak timbul dari pengaruh nafsu, tidak juga timbul dari khayalan cucu pengasas Aurad itu, tidak juga dengan tujuan duniawi. Pengakuan itu dibuat berdasarkan fakta dan sumber-sumber yang meyakinkan akan kebenaran pengakuannya itu. Tidak berlaku sebarang kesilapan fahaman antara ucapan beliau dengan apa yang dicatat oleh wartawan yang melaporkan berita itu. Beliau sendiri pun bertanggungjawab penuh terhadap pengakuannya mengenai diri datuknya itu. Sebelum pengakuan ini dibuat, beliau sudah mengkajinya sungguh-sungguh dan mendapatkan segala maklumat yang diperlukan dari orang-orang salih yang masih hidup lagi, kini sudah berumur lanjut yang pernah berjumpa sendiri dengan datuknya itu.

5.Pengakuan ini adalah suatu ijtihad, yang jika betul akan mendapat dua pahala dan jika salah tetap mendapat satu pahala. Oleh kerana konsep Imam Mahdi sendiri adalah ikhtilaf dan furuk dalam Islam, maka tidaklah salah jika beliau berijtihad mengenainya. Sama ada ijtihadnya itu benar atau salah, tidaklah sampai menjejaskan akidah sebagai seorang Islam sejati. Orang-orang Islam awam pun tidak akan terjejas apa-apa dalam hal ini, sama ada mahu percaya atau tidak, yang terbaca berita itu atau tidak. Beliau pun tidak pernah memaksakan kepercayaannya ini kepada sesiapa pun dari kalangan orang awam.

6.Pengakuan itu dibuat bukan bermotif politik kerana beliau dikenali sebagai seorang yang tidak pernah memasuki mana-mana parti politik di Singapura sehingga ke akhir hayatnya. Beliau lebih dikenali sebagai seorang guru agama yang gigih dalam usaha dakwahnya dan ini meyakinkan lagi kita bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan atas pengakuannya mengenai diri datuknya itu. Beliau menyebutkan hal itu untuk hebahan di kalangan para pengamal Aurad berkenaan di Singapura sendiri khususnya dan di selatan Semenanjung Malaysia amnya.

Dan menurut Ustaz Taha Suhaimi sendiri berdasarkan pandangannya sebagai orang yang berkecuali, asas pengharaman terhadap Al-Arqam itu dikatakan berpunca dari unsur-unsur luar yang sebenarnya tidak ada sangkut pautnya dengan Al-Arqam. Jika ada pun, tidaklah begitu kuat untuk sampai membolehkan Al-Arqam diharamkan. Jelasnya, Al-Arqam itu sendiri dijadikan kambing hitam untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Beberapa alasan dan tuduhan sengaja dicari-cari dan digembar-gemburkan kepada umum untuk membolehkan mereka mengharamkan terus Al-Arqam. Betul atau tidak, cerita lain. Antara alasan yang sering digunakan oleh mereka adalah:

1.Persoalan yaqazah. Orang ramai memang tidak faham apa itu yaqazah, boleh atau tidak berlakunya, siapa dan di mana, serta bagaimana bentuk berlakunya. Orang yang telah mati mustahil bangun semula.

2.Bertemu dan bercakap-cakap dengan Rasulullah SAW dan Imam Mahdi. Hal ini menyalahi syariat bagi Pusat Islam kerana Rasulullah SAW sudah lama wafat dan mustahil dapat ditemui, apatah lagi berbual-bual dengannya.

3.Ajaran yang tidak Islamik atau didakwa membawa ajaran baru. Walaupun persoalan ini agak sensitif, tetap juga dikemukakan dengan beberapa pembetulan dari semasa ke semasa.

4.Mahu mengambil alih pentadbiran Pusat Islam. Inilah punca sebenar mengapa Al-Arqam diserang habis-habisan oleh pegawai-pegawai tertinggi Pusat Islam dan kerajaan.

5.Pakaian yang tidak mencerminkan identiti bangsa Melayu kerana mengambil bentuk pakaian dari negara Arab yang sudah pasti iklimnya jauh berbeza daripada iklim kita di Malaysia ini dan tidak sesuai dengan suasana masyarakat Malaysia yang majmuk.

6.Mengeksploitasi wanita untuk tujuan seks. Hujah paling kuat adalah penghambaan seks dan nikah cerai secara sesuka hati sahaja. Orang Al-Arqam dituduh suka kahwin banyak atau beristeri ramai.

7.Melarikan anak orang. Al-Arqam dituduh melarikan beberapa anak orang, kemudian melakukan kaedah torture terhadap mereka yang dilarikan itu supaya mengikut jemaah mereka.

8.Mahu mengambil alih pemerintahan Malaysia daripada Perdana Menteri Malaysia sekarang. Inilah salah satu alasan utama yang mereka buat untuk mengharamkan Al-Arqam.

9.Mengancam keselamatan. Keselamatan siapa? Sehingga ke saat akhir Al-Arqam diharamkan, tidak seorang pun daripada mereka yang mengangkat senjata menyerang polis, menteri atau orang ramai.

10.Menubuhkan Tentera Badar yang kononnya berpusat di Bangkok. Sehingga ke hari ini, Pusat Islam masih gagal menunjukkan sebarang bukti terhadap tuduhan lisan mereka itu, sedangkan mereka sebelum itu katanya ada bukti kukuh terhadap apa yang mereka dakwakan itu.

11.Al-Arqam mengamalkan amalan Silat Sunda yang menyalahi akidah kerana amalan menyeru roh sebelum boleh bersilat. Sebenarnya orang-orang Al-Arqam tidak pernah mengamalkan Silat Sunda.

12.Corak perjuangan yang sudah berubah. Dahulu, katanya Al-Arqam bergerak sebagai badan dakwah dan setelah sekian lama, mereka sibuk menceritakan tentang Imam Mahdi pula.

13.Al-Arqam adalah sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak pun. Oleh itu, Al-Arqam perlu diharamkan terus atau terpaksa didaftarkan untuk menjadikannya halal.

14.Memperalatkan beberapa orang tokoh koperat dan pemimpin-pemimpin negara yang bergambar dengan mereka untuk menunjukkan bahawa mereka mendapat sokongan daripada golongan berkenaan.

15.Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad dikatakan mendakwa dirinya wali Allah. Ada pula berita yang mengatakan beliau mengaku dirinya sebagai nabi dan sebagainya.

16.Menarik seberapa ramai pelajar universiti yang sedang menuntut, terutama yang perempuan untuk menyertai jemaah Al-Arqam.

Ada beberapa alasan lagi yang sering digunakan untuk mengharamkan Al-Arqam oleh Pusat Islam. Namun cukuplah dengan beberapa alasan yang diberikan di atas, kerana alasan-alasan yang di atas itulah yang paling sering digunakan untuk tatapan masyarakat umum.

Dari segi kepentingan ahli-ahli politik Malaysia pula, pada masa itu, ada empat sebab utama dan segera yang menjadikan Ustaz Haji Ashaari Muhammad perlu dikekang pergerakannya, dakwahnya disekat, jemaahnya dihapuskan, imejnya dijatuhkan dan pengaruhnya cuba dimusnahkan.

1.Ditandai dengan ramalan paling kontroversi oleh Syed Hussein Alattas dalam buku politiknya Talqin Untuk Umno (Jun 1988). Ramalan oleh Syed Hussein inilah yang amat menggemparkan seluruh ahli politik Umno terutamanya, Barisan Nasional dan pihak pembangkang amnya. Umno pada ketika itu sedang menghadapi perpecahan yang amat serius dan hampir gagal dibendung oleh Presidennya sendiri. Ramalan oleh Syed Hussein ini bukanlah alang-alang dan tidak boleh dipandang sebelah mata. Sama ada logik atau tidak, ramalannya tetap perlu diambil kira kerana setakat buku itu ditulis, sudah beberapa banyak ramalannya yang sebelum itu dikira tidak logik, telah benar-benar berlaku. Maka ramalan beliau kali ini, bahawa Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima menyebabkan beberapa pihak panas punggung dan memikirkan secara serius cara-cara untuk menggagalkan ramalan tersebut. Dan Syed Hussein juga begitu serius dengan ramalannya kerana selepas buku Talqin Untuk Umno ini, beliau masih lagi mempertahankan ramalannya dalam sekurang-kurangnya sebuah buku politik yang ditulis selepas itu iaitu Memo Kepada Perdana Menteri (Februari 1992). Kerana itulah tindakan terhadap pemimpin Al-Arqam itu perlu ditangani secara begitu serius pula.

2.Jemaahnya semakin berkembang. Al-Arqam tidak dilihat sama dengan Pas, Abim, Tabligh atau jemaah-jemaah lain. Pas hanya mengandalkan tokoh-tokoh dan isu yang menjurus ke arah politik semata-mata. Sungguhpun mereka mendakwa memperjuangkan Islam, tidak ada jasa yang dilihat jelas dihasilkan oleh tangan-tangan mereka kepada rakyat yang benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat selain mencaci pemimpin kerajaan, mengata orang itu dan ini, sambil mendakwa mereka lebih bijak bercakap dan berhujah daripada pihak lawan. Iman dan ilmu juga ditakuk lama, tiada perubahan kerana menyertai Pas. Abim pula lebih menumpukan perhatian kepada teori, seminar, forum, kertas kerja, universiti dan golongan kolar putih yang profesional. Rakyat biasa atau marhaen agak sukar untuk diterima menjadi ahli aktif atau memegang jawatan yang tinggi di dalamnya. Jika ada pun, boleh dibilang dengan jari. Jemaah Tabligh tidak berminat dengan politik, walaupun cara pendidikannya baik. Semuanya ini tidak merisaukan mana-mana pemimpin kerajaan pun. Al-Arqam jauh berbeza daripada semuanya itu, malah dengan kerajaan pun mereka jauh berbeza dari hampir semua sudut. Apa yang mereka buat, dalam apa bidang pun adalah sepuluh tahun lebih terkehadapan daripada jemaah-jemaah lain dan daripada kerajaan sendiri. Ini yang benar-benar merisaukan para pemimpin kerajaan. Lagipun perkembangan jemaah Al-Arqam yang mampu menjangkau hingga ke Khurasan, China, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah adalah sesuatu yang tidak pernah terfikirkan oleh mana-mana pemimpin pun, malah tokoh koperat terbesar di Malaysia pun tidak mampu melakukan apa yang Al-Arqam telah lakukan.

3.Pengaruhnya semakin menular dan mengukuh di kalangan rakyat Malaysia. Al-Arqam baru berusia dua puluh lima tahun tetapi pengaruhnya sudah cukup besar, bukan sahaja di Malaysia malah menjangkau ke beberapa buah negara luar. Pengaruh mereka bukan sahaja di kalangan marhaen yang tinggal di kampung-kampung, malah pemimpin-pemimpin kanan kerajaan yang bertaraf menteri pun turut menyokong Al-Arqam. Bukan sahaja orang-orang miskin dan tidak berharta yang simpati dengan Al-Arqam, malah tokoh koperat juga amat simpati dengan mereka. Dakwah mereka tidak terhad di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Baharu, malah mereka juga sentiasa pergi ke pedalaman Sabah dan Sarawak dengan perbelanjaan sendiri, menanggung segala susah payah. Mereka tidak setakat pergi ke universiti-universiti untuk berdakwah, malah pergi ke perkampungan-perkampungan Orang Asli di serata negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Juga berdakwah kepada golongan-golongan terbiar seperti mak nyah, penagih dadah dan artis-astis yang sudah terlalu jauh hanyut. Mana dia parti politik atau badan dakwah lain yang sanggup berbuat seperti mereka?

4.Tawaran terbukanya untuk mengambil alih menguruskan Pusat Islam selama setahun. Tawaran terbuka oleh Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad ini dibuat melalui akhbar rasminya Al-Arqam dan turut disiarkan oleh Mingguan Islam. Menurut beliau, biarlah Pusat Islam ditabdir secara percuma oleh Al-Arqam selama setahun dan selepas itu, jika mereka gagal, pihak kerajaan bolehlah ambil semula pentadbirannya dan jika Al-Arqam berjaya menguruskannya dengan cemerlang, pihak kerajaan boleh memikirkan sama ada mahu diserahkan lagi pengurusannya kepada Al-Arqam atau mahu diambil semula. Tawaran terbuka ini rupa-rupanya disambut dengan segala macam serangan yang bertubi-tubi oleh Pusat Islam sendiri, sebagai menunjukkan yang mereka masih gagah, masih mampu buat kerja dan tidak sekoman yang didakwa oleh Al-Arqam itu.

Jelaslah, bahawa isu Imam Mahdi Al-Arqam ini adalah kambing hitam yang digunakan oleh Pusat Islam dan kerajaan Malaysia untuk menutup kelemahan mereka, menghapuskan pengaruh Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad dan jemaah Al-Arqam yang dipimpin oleh beliau itu. Ada isu lain yang tidak didedahkan kepada umum. Itulah sejarah pelik Al-Arqam, yang kini sudahpun berkubur dan tinggal sebagai suatu bahan sejarah yang mempunyai berbagai-bagai rona. Pejuang-pejuang Islam tidak patut memperjuangkan alat atau wadah, tetapi sepatutnya memperjuangkan Islam itu sendiri atau mendukung kebenaran itu sendiri. Orang yang memperjuangkan alat, atau orang yang memperalatkan Islam dalam perjuangan mereka adalah golongan yang tertipu dan menipu.

Sekarang, isu Al-Arqam tidak patut ditimbulkan lagi dan tidak boleh ditimbulkan semula. Umpama orang yang telah lama mati, tidak akan hidup semula melainkan di akhirat kelak. Begitu jugalah dengan Al-Arqam. Perjuangan hari ini adalah untuk menegakkan Bandar Islam, bukan lagi Darul Arqam (Kampung Islam). Oleh itu, sekali lagi ditegaskan bahawa Al-Arqam sudah tidak sesuai dengan perkembangan Islam pada masa ini. Jemaah Al-Arqam yang berada di luar negara juga sudah mula menukar arah dan teknik perjuangan kepada bentuk baru ini dan meninggalkan imej lama mereka, biar pun mereka yang luar sana tidak diusik oleh pihak pemerintah di negara masing-masing. Perjuangan di bandar lebih membawa kesan kepada sesiapa sahaja kerana lazimnya pemikiran orang bandar lebih terbuka dan lebih mudah menerima perubahan. Orang bandar juga lebih berupaya menjadi peneraju manakala orang kampung pula lebih bersifat mengekor sahaja.

Kalau mendirikan sebuah perkampungan Islam sahaja sudah amat payahnya, inikan pula kalau hendak mendirikan sebuah bandar Islam, maka lebih-lebih lagilah payahnya. Kerana itulah jika ada mana-mana individu yang berupaya mendirikan sebuah bandar Islam tanpa menimbulkan sebarang masalah kepada masyarakat sekitarnya, maka orang itu bukanlah calang-calang pemimpin. Pastilah dia itu seorang yang pemikirannya cukup besar, strateginya cukup tersusun dan kepemimpinannya cukup berwibawa. Jika pada satu-satu masa ada orang yang mampu melakukan hal ini, maka tidak syak lagi orang itulah yang sepatutnya menjadi pemimpin seluruh umat manusia ini. Sebabnya, pada satu-satu masa, hanya seorang sahaja dari kalangan umat Islam ini yang Allah berikan keupayaan begini, tidak kepada mana-mana orang, biar sepandai dan sekaya mana pun orang itu. Pemuda Bani Tamim itu dilahir dan berjuang di Malaysia ini kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Maka cabaran mendirikan sebuah bandar Islam di sini jauh lebih hebat daripada mendirikan sebuah bandar Islam di kalangan penduduk yang rata-rata beragama Islam.

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum,nak kenal pemimpin sejati dia susah rakyat senang, rakyat tidur dia berjaga,rakyat gembira dia menangis,rakyat makan sedap2 dia tidak,rakyat bergembira dgn keluarga makan angin dia sibuk menyelesaikan masalah rakyat ,tuan lihatlah betapa banyak jemaah yg kata bawa Islam sudahnya yg dibawah ada yg x makan,dia makan sedap2, tidur bilik aircond,bini dari 1 jadi4,bukan salah betbini lebih dr 1 tapi dimana keutamaan terdahulu jika kita sedar kita seorang pemimpin.Ada yg bawa Isam dgn jln demokrasi lalu dicari dalil utk mengharuskannya & keluarlah kenyataan kerjanya asyik menyalahkan orang,menilai Islam & iman org lain lagaknya dia yg lebih Islam dr org lain.Utk pengetahuan tuan tugas para Nabi amat sukar bukan bertambah harta malah berkurang,ustaz 2 terkemuka x mau masuk lorong & nightclub mahupun bersama mat rempit,mat gian & mcm2 mat lagi utk membawa mereka ke jln Allah,siapa yg peduli dgn mat2 spt ini,para ustaz lebih selesa mengajar di masjid2 & surau, kasihanilah anak2 ini yg disisihkan masyarakat dgn umpat keji dgn pelbagai gelaran maka mereka menjadikan masyarakat sekeliling musuh mereka maka bertambah liar mereka ini,sayangilah mereka,mereka masih muda & mempunyai keberanian tapi bukan pd tempatnya jika diasuh & dididik dgn sebenarnya inshaaAllah mereka alan menjadi pemuda pemberani dlm menegakkan yg haq
    dan melenyapkan yg batil,sesungguhnya merekalah yg dijanjikan Allah sewaktu hidupnya sentiada dicemuh & dihina meteka dtg ketika umat terpinga- pinga

    ReplyDelete