Para sarjana dan cendekiawan Islam adalah orang yang mempunyai ilmu yang mendalam bagi sesuatu matan (cabang) ilmu, mengkaji sesuatu isu secara mendalam dan adil, tanpa menyebelahi mana-mana pihak, tidak mencari sebarang kepentingan, kemudian mengeluarkan teori-teori dan resolusi-resolusi yang dirasakan terbaik, hasil daripada pemikirannya sendiri atau cantuman beberapa pemikiran, berusaha membantu memajukan umat Islam dalam serba-serbi, terutama dari segi zahirnya dengan segenap ilmu yang ada pada mereka. Mereka dianggap sebagai golongan yang profesional dalam bidang dan pengkhususan mereka itu. Demikian secara ringkas maksud sarjana dan cendekiawan Islam menurut pandangan penulis.
Namun, itu hanyalah benar di atas kertas sahaja, tidak selalunya benar di dalam realiti kehidupan. Sebab itu kita dapati banyak sarjana dan cendekiawan yang menyalahi etika kesarjanaannya atau kecendekiawanannya. Mereka tidak mengkaji sesuatu isu dengan teliti, tidak secara mendalam, selalu berat sebelah, mempunyai kepentingan tertentu, penuh syak wasangka terhadap pendapat pihak lain yang tidak bersesuaian dengan pendapatnya, hanya mengemukakan pendapat satu-satu pihak sahaja dan tidak begitu berusaha memajukan seluruh umat Islam. Mereka lebih mementingkan kebajikan golongan-golongan tertentu yang dihadapkan persoalan ini dan lazim pula memandang rendah terhadap umum umat Islam kerana berasakan ilmu orang awam itu tidak setaraf dengan ilmu mereka, atau tidak sematang ilmu mereka. Ilmu mereka jarang yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan sebenar bermasyarakat. Ilmu mereka sesuai dibincang dalam forum-forum, seminar-seminar atau bengkel-bengkel kerana bentuk-bentuk demikian lebih sesuai untuk mereka melontarkan teori demi teori, pendapat demi pendapat dan gagasan demi gagasan.
Sikap seperti ini hanya menyebabkan berlaku satu jurang yang amat besar dan dalam antara golongan sarjana ini dengan umat Islam umum. Antara satu golongan terhadap golongan yang lain, saling memandang rendah terhadap golongan yang satu lagi. Masing-masing menaruh syak wasangka dan kata-mengata di belakang. Jika bertemu, sudah tidak terasa kemesraan antara kedua-dua golongan ini, tidak masuk ke hati. Cakap-cakap golongan sarjana dan cendekiawan ini sudah tidak berbisa lagi, tidak tajam dan tidak mampu menusuk ke lubuk hati umat Islam. Mereka dan pendapat mereka tidak dianggap berwibawa dalam soal agama, baik soal agama yang besar-besar, apatah lagilah dalam soal-soal yang lebih kecil. Ilmu mereka besar tetapi cakapnya tidak setajam mata pedang. Taraf mereka tidak lebih daripada seorang biasa sahaja. Pakaian zahir mereka pun sudah cukup untuk membuktikan kebenaran hal ini.
Dalam soal Imam Mahdi ini, para sarjana dan cendekiawan Islam tidak berani lagi memperkatakannya secara terus terang, takut nanti dikata sebagai golongan yang mundur, percaya kepada dongeng dan sebagainya. Sebab itu para sarjana hari ini cuba menafikan kemunculan Imam Mahdi dengan pelbagai alasan. Kesannya, umat Islam dilontarkan dengan pendapat satu-satu golongan sahaja, iaitu golongan yang tidak percaya kepada kemunculan Imam Mahdi. Para sarjana dan cendekiawan kelihatan cukup takut terhadap tekanan dan ancaman dari pihak pemerintah yang memerintah di negara masing-masing. Jika diperkatakan juga, disampaikan dengan penuh lemah lembut dan berlapik tujuh lapis. Tiada yang berani memperkatakannya secara terperinci atau lengkap, takut nanti ada pihak yang akan tersinggung.
Sepatutnya merekalah golongan yang paling berani memperkatakan soal ini, supaya umat Islam tidak terus-terusan berpecah dan bertelagah. Merekalah sepatutnya golongan yang menyatukan seluruh hati umat Islam, fikiran umat Islam dan kefahaman umat Islam mengenai soal Imam Mahdi ini. Hal ini dikeranakan mereka mempunyai cukup segala peralatan dan kemudahan untuk membuat kajian dan penelitian dalam usaha menyatukan umat. Mereka juga mempunyai segala kepakaran untuk memikirkan resolusi terbaik dalam usaha penyatuan pendapat ini. Mereka juga mendapat biaya yang mencukupi untuk menjalankan usaha ini. Mereka juga mempunyai jaringan yang cukup luas dan sokongan dari pelbagai pihak dalam menjalankan kajian mereka.
Sebarang pendapat mereka dapat pula disiarkan secara penuh dan bebas dalam semua jenis dan bentuk media yang terdapat di dalam sesebuah negara itu, malah boleh pula disebarkan ke seluruh dunia Islam dan kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada. Sayangnya, hal ini rupa-rupanya tidak berlaku dan insya-Allah tidak akan berlaku. Rupa-rupanya Allah SWT telah menentukan bahawa agama Islam ini tidak akan dibangunkan oleh golongan ini. Keadaan semasa dan sejarah silam mengajar kita mengenainya melalui bukti-bukti yang nyata. Ilmu yang mereka miliki rupa-rupanya tidak mampu membantu mereka membangunkan umat Islam, ilmu yang banyak itu juga tidak mampu memperkasakan iman mereka dan iman anak-anak didik mereka.
Sekiranya benar pendapat bahawa Islam dimiliki dan ditinggikan oleh golongan sarjana dan cendekiawan Islam ini, mengapa para siswazah yang keluar dari universiti dalam jurusan pengajian Islam, masih tidak kenal Tuhan, tidak cinta kepada Tuhan, tidak sayang kepada Tuhan, tidak beradab dengan Tuhan, masih tidak mampu membangunkan Islam di dalam diri dan jiwa raganya? Mengapa para siswazah ini dilihat dan dianggap sama sahaja tarafnya dengan siswazah dari jurusan ekonomi atau jurusan perakaunan? Di mana silapnya?
Jika benar universiti adalah pusat penyebaran Islam, mengapa pakaian pensyarahnya, baik lelaki mahupun perempuan, tidak lebih hebat dan bertakwa daripada pakaian golongan lain yang bukan dari jurusan Islam? Sepatutnya para pensyarah adalah uswatun hasanah bagi sekalian anak muridnya khususnya dan sekalian umat Islam umumnya. Bukan pula bererti di sini, penulis seorang yang antiuniversiti. Menuntut ilmu adalah wajib, dan belajar di universiti adalah salah satu cara untuk menunaikan kewajipan tersebut. Jika berkemampuan, belajarlah di universiti mana pun dan dalam jurusan apa pun. Cuma dikesalkan ialah sikap mereka yang mengajar agama, tetapi kelihatan seperti mahu meruntuhkan agama sendiri melalui bidang agama. Itu sahaja yang dikesalkan. Pensyarahnya dilihat sebagai bukan seorang yang boleh dijadikan ikutan. Cakapnya tidak bi lisanul hal. Diri, keluarga, akhlak dan keperibadiannya tidak dapat dicontohi oleh anak muridnya sendiri mahupun masyarakat awam sebagai uswatun hasanah.
No comments:
Post a Comment