Wednesday, 23 February 2011

0146 Sikap Para Pemerintah yang Sepatutnya

Pemerintah adalah orang yang diberi tanggungjawab menguruskan segala hal yang berkaitan dengan umat, dari yang zahir hinggalah yang batinnya, dari hal-hal yang berkaitan dengan dunia mereka hinggalah kepada soal-soal agama rakyatnya. Semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dan akan ditanya tentang apa yang diuruskan. Oleh itu, tanggungjawab pemerintah amatlah besar dan berat, tambahan pula pada akhir zaman seperti zaman kita sekarang ini. Dapatlah dirasakan zaman ini adalah zaman yang cukup berat dan besar tanggungjawab mereka. Ini disebabkan rakyatnya semakin bertambah dan kemudahan asas juga semakin bertambah. Cengkaman kuasa kuffar Barat juga kian kuat mencengkam negara mereka.

Mereka bertanggungjawab menguruskan hal-hal kebajikan rakyatnya dari yang zahir hinggalah yang batin, dari yang sekecil-kecil perkara hinggalah kepada yang sebesar-besarnya. Baik dan maju umat Islam seluruhnya adalah kerana baik dan majunya pihak pemerintah, manakala buruk dan rosak umat Islam seluruhnya adalah kerana buruk dan rosaknya pihak pemerintah. Apabila pihak pemerintah sendiri membiarkan rakyatnya tanpa berusaha mencari jalan menyatukan mereka, umat Islam akan terus berpecah belah dan berselisih pendapat dalam hampir semua perkara, tanpa dapat disatukan lagi. Mereka sendiri akan turut disibukkan oleh urusan (yang asalnya) remeh-temeh yang tidak kunjung putus tanpa dapat lagi menyatukan mereka, dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Itulah kegagalan sejati pihak pemerintah dalam hal ini, suatu hal yang dianggap kecil tetapi tetap tidak mampu diselesaikan. Mungkin kerana dilihat sebagai terlalu kecil, maka hal ini terbiar begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikannya. Malah pihak pemerintah sendiri yang dilihat seolah-olah mahu masalah ini terus bermaindi kalangan rakyat, agar mereka lupakan sejenak masalah politik dalam negara yang sedang hebat bergolak itu. Untuk meredakan sekejap kemarahan rakyat terhadap mereka, rakyat dibiarkan terus bermain dengan soal Imam Mahdi ini.

Mereka juga amat sensitif terhadap masalah Imam Mahdi ini kerana apabila Imam Mahdi keluar nanti, habislah kekuasaan mereka dirampas oleh Imam Mahdi tersebut. Segala penat lelah mereka selama ini menjadi sia-sia sahaja, kekayaan yang mereka kumpulkan akan diambil oleh Imam Mahdi tanpa dapat disorok-sorok lagi. Segala rahsia kejahatan mereka akan terbongkar habis hingga ke akar-akar umbinya sekali, dan ini pasti memalukan mereka. Apabila Imam Mahdi keluar nanti, pengaruh mereka terhadap rakyat yang susah payah dibina selama bertahun-tahun ini akan musnah sirna di telapak kaki Imam Mahdi dalam sekelip mata sahaja, hingga akhirnya mereka tidak mempunyai sebarang pengaruh lagi. Itulah bayangan hantu Imam Mahdi bagi mereka yang banyak dosa.

Sepatutnya setiap pemerintah kenalah sedar bahawa ini adalah zaman Imam Mahdi, bukan lagi zaman mereka. Maka Imam Mahdilah yang paling berhak ke atas pemerintahan semua negara Islam di dunia ini. Beliaulah yang paling berhak memerintah ke atas seluruh dunia kerana sudah disebutkan oleh hadis-hadis yang cukup banyak, sehingga sudah melepasi tahap hadis mutawatir. Sepatutnya setiap pemerintah mentaati suruhan Rasulullah SAW itu, kerana isyarat yang diberi sudah cukup jelas dan terang untuk difahami oleh semua orang, terutama pemerintahnya. Berilah laluan kepada Imam Mahdi untuk naik, jika kita benar-benar taatkan Allah SWT dan taatkan setiap suruhan Rasulullah SAW, serta tidak mempunyai kepentingan duniawi. Barulah kita diiktiraf sebagai seorang umat yang baik dan akan dibalasi dengan yang lebih baik pula. Nilaian dunia ini dengan akhirat nanti, apalah sangat nilainya. Kita tidak rugi sedikit pun. Mungkin kehilangan kuasa dan pengaruh untuk seketika di dunia ini, tetapi tidak di akhirat yang kekal abadi.

Dan bagi orang-orang Islam yang sedang memasang cita-cita untuk menjadi pemerintah di mana-mana negara di dunia pada masa ini, eloklah berfikir sepanjang-panjangnya dahulu. Ingat, ini adalah masa untuk Imam Mahdi muncul dan memerintah, usahlah kita yang menjadi salah seorang penghalangnya, biar pun kita mempunyai niat yang baik, untuk mendaulatkan Islam di negara ini, misalnya. Tugas itu sebenarnya adalah tugas Imam Mahdi dan orang-orangnya yang sangat terpilih, kerana hal ini sudah disebutkan oleh baginda SAW dalam banyak hadis, bukannya tugas kita yang entah siapa-siapa ini. Siapa kita yang mahu menggantikan tugas Imam Mahdi itu? Lebih baiklah kita menjadi pengikut sahaja. Batalkan sahaja niat mahu menjadi pemerintah itu. Kita akan selamat di dunia ini dan insya-Allah akan lebih selamat lagi di akhirat sana.

Ahli-ahli politik dari pelbagai parti, sama ada yang berbentuk sekular sepenuhnya, lebih-lebih lagi yang mendakwa ia mendukung parti Islam, perlu ingat bahawa mereka sebenarnya sudah tidak layak dan tidak mampu untuk memerintah umat Islam pada masa ini. Rasulullah SAW sudah menyatakan bahawa setiap pemerintah yang naik menggantikan pemerintah sebelumnya, akan memerintah dengan lebih zalim daripada pemerintah yang digantikannya, yang katanya dahulu adalah pemerintah yang zalim. Hadis Rasulullah SAW ini perlu direnung kembali dengan sungguh-sungguh dan dinilai dengan keadaan pemerintah semasa. Buka mata dan minda luas-luas. Lihatlah di seluruh dunia, terutama dunia Islam, setiap kali turun seorang pemerintah, pasti pemerintah yang menggantikannya akan berlaku lebih zalim daripada pemerintah yang digantikannya itu. Sehabis-habis baik pun adalah mereka akan berlaku sama zalim dengan pemerintah yang digantikannya tadi. Ini hakikat sejarah zaman ini, tidak perlu lihat jauh-jauh sejarah zaman lampau. Fikirkanlah baik-baik kalau kita benar-benar beriman kepada Allah SWT dan taatkan Rasulullah SAW.

Pihak pemerintah juga sepatutnya berperanan menjelaskan kepada sekalian rakyat akan konsep Imam Mahdi ini kepada sekalian rakyat dengan sejelas-jelasnya. Jika perkara ini dijelaskan dengan panjang lebar dan baik, pastilah sekalian rakyat akan dapat disatukan dan perpecahan dapat dielakkan. Mereka juga akan menjadi umat yang lebih maju dalam segala hal dan lebih soleh daripada sebelumnya. Apabila rakyatnya sudah mencapai taraf soleh, akan berkurang pula masalah-masalah jenayah dan gejala sosial yang lain. Keberkatan dari Tuhan juga turun kepada kita semua. Dan ini sebenarnya amat menguntungkan pihak pemerintah itu sendiri. Sayang, pihak pemerintah lebih suka menggunakan jalan yang amat jauh dan berliku, walaupun jalan pintas yang lurus sudahpun terbentang di depan mata.

Orang-orang yang diberi kuasa memerintah juga hendaklah memberi ruang yang lebih kepada ulama untuk bersuara, menjelaskan perkara sebenarnya kepada seluruh rakyat, siapa dia Imam Mahdi itu, di mana munculnya, bila munculnya, apa tanda-tandanya, apa ciri-ciri pengikutnya dan sebagainya lagi. Apa yang berlaku hari ini ialah, para ulama ditekan-tekan dengan pelbagai cara, dari yang sehalus-halusnya hinggalah kepada yang sekasar-kasarnya. Para ulama dikategorikan oleh pemerintah kepada yang taat, yang berkepentingan, yang suka melawan, yang berkecuali dan yang keras kepala. Ulama kerajaan adalah ulama yang dilihat mempunyai kepentingan peribadi atau poket sendiri. Ulama yang lain dikategorikan sebagai ulama yang suka melawan.

Maka tindakan yang diambil terhadap mereka adalah berdasarkan kategori-kategori yang telah ditetapkan tadi. Di Malaysia, golongan ulama yang menentang kerajaan akan digam mulutnya, atau diikat kaki tangannya sehingga mereka tidak bebas bergerak dan bersuara. Jika di negara-negara lain, ulama yang berani bercakap menyatakan salah itu dan ini, ramai yang ditembak mati secara gelap. Hal ini memang sudah lama berlaku, sehingga akhirnya para ulama yang ada tenggelam dan terbiar. Tidak ada orang yang berani menghampiri mereka, kerana takut dikatakan sebagai tali barut ulama berkenaan atau sekurang-kurangnya penyokong ulama itu tadi. Tindakan ini juga adalah usaha untuk menyelamatkan nyawa si ulama berkenaan, agar tidak ditembak mati secara gelap.

Mereka perlu ingat bahawa tugas mereka terhadap rakyat ialah membawa dan memimpin mereka menuju kepada Tuhan. Tugas mereka bukan semata-mata memenuhkan keperluan fizikal rakyatnya. Keperluan fitrah manusia kepada Tuhannya adalah perkara paling perlu dan paling utama. Di situlah terletaknya kunci sebenar perpaduan seluruh umat Islam, sama ada di dalam negara mereka sendiri ataupun di seluruh dunia Islam. Tugas mengenalkan Tuhan ini tidak terletak pada bahu ulama semata-mata. Sebagai panduan, berikut ini diberikan beberapa perkara dan alasan, jika kita sebagai pemerintah mengabaikan tugas mengenalkan hati manusia kepada Tuhan yang sejati.

  1. Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak kenal, dengan pemerintah lagilah mereka akan buat-buat tidak kenal. Kalau kenal pun, hanya kerana ada kepentingan sendiri. Jika tiada kepentingan, tidak ada sesiapa pun yang kenal siapa pemerintahnya.
  2. Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak tahu bersyukur, dengan pemerintah lagilah mereka tidak tahu bersyukur dan berterima kasih.
  3. Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak beradab, dengan pemerintah lagilah mereka tidak tahu beradab.
  4. Kalau dengan Tuhan pun mereka sanggup melawan (derhaka), dengan pemerintah lagilah mereka berani melawannya.
  5. Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak peduli, dengan pemerintah lagilah mereka tidak peduli.
  6. Kalau dengan Tuhan pun mereka boleh lupa, dengan pemerintah lagilah mereka lupa.
  7. Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak boleh bersabar, dengan pemerintah lagilah mereka tidak sanggup bersabar.
  8. Kalau dengan Tuhan pun mereka marah-marah, dengan pemerintah lagilah mereka mudah marah.
  9. Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak amanah, dengan pemerintah lagilah mereka tidak amanah.
  10. Kalau nasihat Tuhan pun mereka tinggalkan, nasihat pemerintah lagilah mereka tidak ambil langsung.
  11. Kalau dengan Tuhan pun mereka boleh letakkan di belakang, dengan pemerintah lagilah mereka letak di belakang.
  12. Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak boleh redha, dengan pemerintah lagilah mereka tidak tahu redha.

No comments:

Post a Comment