Wednesday, 23 February 2011

0109 Imam Mahdi di Kalangan Para Wali

Imam Mahdi yang dikenali di seluruh dunia seperti yang selalu disebut-sebutkan itu adalah Imam Mahdi bagi para ulama hadis atau Imam Mahdi bagi ulama ahli kalam. Ini disebabkan sifat-sifat, keadaan, kemunculan dan pemerintahannya kita ketahui melalui hadis-hadis Nabi SAW dan juga huraian para ulama ilmu kalam dalam kitab-kitab tauhid mereka. Imam Mahdi ini mereka huraikan menurut fahaman dan sudut pandangan mereka itu. Maka kita pun turut memahaminya menurut sudut pandangan yang telah ditumpukan oleh mereka itu. Dan itulah juga Imam Mahdi bagi orang awam yang sebenarnya.

Sebab itulah, apabila ada orang lain menceritakan mengenai Imam Mahdi menggunakan sudut pandangan yang berbeda daripada apa yang kita sedia fahami itu, maka ramailah bingkas menentangnya. Seolah-olah apa jua pandangan yang bertentangan dengan apa yang kita sedia fahami itu salah belaka, bidaah belaka dan bohong belaka. Hanya pandangan kita sahaja yang betul dan benar. Karena kononnya pandangan kita berdasarkan ayat al-Quran dan hadis. Pendapat orang lain semuanya salah. Maka berlakulah perbedaan yang lebih besar dan merumitkan lagi keadaan, walhal mereka hanya menyatakan pandangannya, yang sebenarnya tidak salah, hanya berbeda sedikit daripada kita sahaja.

Umpamanya, kita selama ini disogokkan dengan cerita orang yang melihat Imam Mahdi itu dari arah hadapan sahaja. Maka pandangan dari hadapan itulah yang kita terima dan anggap benar. Apabila ada orang lain yang melihat Imam Mahdi itu dari arah belakang dan menyatakan apa yang dia sedang lihat, maka kita pun marah kepadanya karena dia melihat dari belakang. Kita tidak sepatutnya memarahi dia sedangkan yang dilihatnya itu adalah Imam Mahdi yang itu juga, cuma dia melihat dari tempat yang lain dari tempat kita melihatnya. Maka berbedalah pandangan dia daripada kita, disebabkan berbeda tempat dia memandang itu.

Dalam hal ini, para ahli sufi turut menjelaskan sifat, keadaan dan pemerintahan Imam Mahdi, menurut pandangan mereka pula, dengan sumber yang berbeda pula. Pandangan dan sumber mereka itu tidak pernah dipakai oleh ahli hadis dan ahli ilmu kalam. Malah sumber mereka itu dilihat sekali imbas, bagaikan tidak pernah digunakan oleh Nabi SAW sendiri dan para sahabat RA. Para ahli sufi ini melihat dari sudut kesufian mereka, dan sumber mereka adalah ilmu laduni, kasyaf dan berita ghaib yang mereka terima.

Ahli sufi atau dikenali juga dengan nama ahli tasawuf adalah golongan yang berusaha menghampirkan diri dengan Allah SWT, dengan amalan zahir dan batin. Keutamaan mereka adalah pada amalan batinnya, karena yang itulah yang dinilai oleh Allah SWT dan juga merupakan tempat jatuhnya pandangan Tuhan kepada mereka. Mereka tidak berapa menghiraukan kepentingan duniawi karena matlamat utama mereka adalah satu, yaitu Allah SWT sahaja. Disebabkan itu, pandangan dan matlamat hidup mereka jauh berbeda daripada manusia biasa, termasuk para ulama yang banyak kedapatan pada setiap ketika.

Bagi golongan ahli sufi atau tasawuf ini, Imam Mahdi adalah seorang lelaki yang merdeka, seorang yang bertaraf wali, malah wali yang terbesar pernah dilahirkan ke dunia ini (selepas zaman sahabat RA). Beliau juga adalah ketua bagi sekalian wali dan terakhir keluar, digelar sebagai Khatimul Auliak (Penutup Sekalian Wali). Sesuai dengan gelaran dan kedudukan itu, tiada lagi ketua wali yang lebih utama daripada beliau, sama ada sebelum atau selepasnya. Keadaannya sama dengan Rasulullah SAW yang merupakan penutup bagi sekalian rasul dan terakhir keluar, digelar sebagai Khatimul Anbiak (Penutup Sekalian Nabi).

Peranan Imam Mahdi ini disamakan dengan peranan Nabi Muhammad SAW yang menjadi batu terakhir untuk menyiapkan sebuah binaan. Dengan peletakan batu yang terakhir itu ke tempatnya, maka siaplah pembinaan rumah itu keseluruhannya. Sehubungan itu, sejak diutuskan Nabi Adam AS hinggalah akhirnya, Nabi Muhammad SAW adalah pelengkap bagi para rasul yang diutus itu. Agama yang dibawanya adalah penamat bagi sekalian agama yang pernah disyariatkan, dan terlengkap di antara semua agama.

Sabda Rasulullah SAW,

“Diriku dibanding dengan para anbiak sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina rumah dan menyempurnakan pembinaannya hinggalah tinggal satu tempat untuk diisi dengan seketul batu. Maka akulah batu itu.”(Imam a-Bukhari)

Berdasarkan hadis inilah ahli-ahli tasawuf membuat perbandingan peranan Imam Mahdi dengan peranan Rasulullah SAW. Imam Mahyuddin Ibnu Arabi al-Hatimi, seorang Wali Qutub yang cukup terkenal, di dalam kitab termasyhurnya Fathul Makkiyah, menulis kira-kira begini:

Al-Mahdi yang ditunggu-tunggu itu berperanan sebagai penyempurna tugas sekalian aulia. Beliau adalah umpama seketul batu binaan yang akan menutup ruang yang kosong bagi menyempurnakan binaan itu seluruhnya.

Maknanya, apabila Imam Mahdi yang Muntazar itu muncul kelak, sempurnalah binaan itu keseluruhannya dan menutup peranan sekalian Wali Qutub. Imam Mahdi itulah yang menyempurnakan peranan ketua-ketua wali yang sebelumnya. Jika ada ketua wali selepasnya pun, hanyalah bertaraf wali biasa sahaja, bukan bertaraf ketua wali lagi karena pada ketika itu sudah tiada lagi orang yang akan dilantik sebagai ketua wali.

Imam Mahyuddin Ibnu Arabi juga membedakan taraf Rasulullah SAW sebagai ketua sekalian anbiak dengan Imam Mahdi sebagai ketua sekalian auliak, hanyalah dari segi mutunya sahaja. Rasulullah SAW sebagai seorang rasul diumpamakan seperti nilai emas, manakala Imam Mahdi sebagai seorang wali diumpamakan seperti nilai perak. Oleh itu, setinggi-tinggi taraf Imam Mahdi, tetaplah beliau itu seorang wali sahaja, tidak akan sampai melebihi taraf seorang nabi atau rasul. Cuma, di kalangan para wali yang ada, sama ada yang hidup pada zamannya ataupun sebelum itu, beliau nyatalah lebih tinggi martabatnya daripada sekalian mereka itu.

Apabila muncul kelak, beliau akan menunaikan sembahyang secara berjemaah dengan sekalian kaum muslimin di Masjidil Haram, akan menyampaikan khutbah yang panjang kepada seluruh umat manusia, akan berjuang menegakkan sunnah Rasulullah SAW, mengembalikan keadilan di kalangan manusia, memulihkan berkat, menentang kezaliman dan bidaah, diakui sebagai raja yang sangat adil, dan membawa Islam ke puncak kemuliaan seperti yang sepatutnya diterima oleh Islam itu sendiri.

Imam Mahyuddin Ibnu Arabi juga menyatakan di dalam kitabnya itu bahwa Imam Mahdi akan muncul pada akhir kurun ketujuh Hijrah. Ijtihadnya ini dibuat memandangkan bahwa tiada sebuah hadis pun yang menyatakan dengan jelas bila Imam Mahdi itu akan muncul. Oleh karena pada akhir kurun ketujuh Hijrah Imam Mahdi yang dimaksudkan tidak juga muncul-muncul, maka ijtihad beliau itu dianggap batal. Namun, beliau tetap mendapat satu pahala karena telah berijtihad berdasarkan ilmu yang ada pada beliau, di samping ilmu yang ada padanya membolehkan beliau mengeluarkan ijtihadnya sendiri.

Golongan sufi juga menyatakan pendirian yang tegas bahwa masalah Imam Mahdi adalah masalah khilafiah dan hanyalah furuk dalam ilmu tauhid. Karena itu jugalah masalah Imam Mahdi ini pada peringkat awal Islam dahulu, tidak begitu diambil perhatian oleh golongan sufi ini. Hanya pada sekitar tahun 300 Hijrah sahaja masalah ini mula diambil berat oleh mereka, dengan membawa satu cerita baru, yang jauh berbeda daripada cerita yang didapati di kalangan ahli hadis dan ahli tauhid. Hal ini bukanlah bidaah, cuma perspektif yang mereka gunakan berlainan daripada perspektif yang lazim kita gunakan. Itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang. Huraian mereka ini lebih bersifat memperlengkapkan lagi ilmu bagi sekalian umat Islam.

No comments:

Post a Comment