Kerap pula berlaku sesebuah hadis itu diisytiharkan dhaif atau mauduk kerana perawinya adalah seorang Syiah. Contohnya, Ibnu Khaldun, menolak Qutn bin Khalifah, salah seorang rawi hadis-hadis mengenai Imam Mahdi disebabkan beliau adalah seorang Syiah. Dalam hubungan ini, beliau dilihat agak tergesa-gesa menuduh rawi secara borong sahaja, contohnya beliau menyatakan bahawa ‘Ijli menyebut bahawa Qutn adalah seorang yang baik dalam hadis, tetapi dituduh berfahaman Syiah. Selain itu, menurut Ahmad bin Abdullah bin Yunus dan Abu Bakar bin Ayyash, Qutn adalah tidak dipercayai dan hadis-hadisnya ditolak kerana kesesatan akidahnya itu. Kesilapan beliau adalah kerana di pihak lain, terdapat sebilangan ulama seperti Imam Ahmad bin Hanbal, an-Nasa’i dan lain-lain, yang mempercayainya dan menerima hadis-hadis yang diriwayatkannya.
Rawi lain yang bernama Harun telah dicap sebagai dhaif, kerana menurut Ibnu Khaldun lagi, dia dan anaknya adalah penganut Syiah. Sebahagian ulama hadis seperti Yazid bin Abu Ziyad dikatakan seorang rawi yang lemah kerana ‘dia adalah salah seorang pemimpin Syiah’ dan salah seorang ulama Syiah di Kufah. Menurut ulasan Ammar az-Zahabi, Ibnu Khaldun tidak menyebutkan bahawa ahli-ahli hadis terkemuka seperti Imam Ahmad bin Hanbal, an-Nasa’i dan lain-lain menganggapnya siqah. Juga Abdul Razak bin Humam yang hadis-hadisnya dikatakan lemah oleh Ibnu Khaldun kerana dia dikatakan lebih berminat membawa hadis-hadis yang memuji Keluarga Nabi SAW dan terkenal kerana fahaman Syiahnya.
Memang benar dalam hal ini, sebahagian hadis yang diriwayatkan, ada yang dibawa oleh rawi yang bermazhab Syiah atau pro-Syiah. Hadis-hadis begini memang patut kita ragui kesahihannya, jika tidak terdapat sanad lain yang sampai kepada kita. Namun, satu perkara yang kita lupa atau seolah-olah kita lupa iaitu terdapat lebih banyak hadis mengenai Imam Mahdi yang benar-benar maudhuk dibawa oleh orang-orang yang tidak bermazhab Syiah. Oleh itu, kedua-dua pihak ini sepatutnya kita awasi benar-benar, bukan hanya dari pihak Syiah sahaja, seperti yang selalu diheboh-hebohkan oleh Ibnu Khaldun itu.
No comments:
Post a Comment